Calon P107Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin hadir pada Majlis Pengumuman Calon Parlimen Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – MIC yakin Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mampu memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri S.A Vigneswaran berkata, Khairy yang juga penyandang Parlimen Rembau adalah calon yang boleh menarik minat pengundi untuk menyokong Barisan Nasional (BN) di kawasan kerusi Melayu bandar.

“Saya rasa Khairy akan menjadi calon yang tepat untuk Sungai Buloh kerana ia kerusi urban Melayu.

“UMNO juga sangat gembira kerana MIC memenuhi permintaan mereka.

“Pada saya, jika kita tidak dapat memenangi kerusi, perkara terbaik untuk dilakukan ialah menukar kerusi itu dengan ahli politik yang mempunyai penyokong yang besar dan boleh memenangi kerusi itu. Itu yang kita panggil hubungan kekeluargaan,” katanya.

Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tergempar MIC mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2022.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat tergempar di ibu pejabat MIC di sini hari ini.

BN semalam mengumumkan Khairy akan berpindah ke Sungai Buloh bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hasan untuk bertanding kali pertama di Rembau.

Sementara itu, Vigneswaran mempengerusikan mesyuarat tergempar dengan Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti untuk menyelesaikan beberapa isu keluarga berkaitan parti.

MIC telah bertukar tiga kerusi Parlimen tradisinya dengan UMNO untuk PRU15 iaitu Sungai Buloh, Kapar dan Cameron Highlands.

Sebagai balasan, parti itu ditawarkan Parlimen Teluk Intan, Kuala Langat dan Batu.

Parti itu juga akan membuat kemunculan semula di Port Dickson yang dahulunya merupakan kerusi tradisinya ketika ia masih dikenali sebagai Teluk Kemang. – MalaysiaGazette

Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tergempar MIC mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2022.