Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Pas bercita-cita melakar sejarah dengan memenangi kerusi Parlimen di Johor buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Negeri Johor, Abdullah Hussin berkata, sasaran itu mampu dilaksanakan menerusi empat calon yang diketengahkan parti itu.

“Insya-Allah kali ini kita boleh lahirkan ‘anak sulung’ di Johor. Dari kembar dua boleh jadikan kembar tiga, dari kembar tiga boleh jadi kembar empat. Begitulah hasrat kita jika diizinkan Tuhan.

“Insya-Allah kita akan fokus di semua tempat walaupun kita tidak bertanding banyak kerusi mudah-mudahan kita mencapai kejayaan pada kali ini

“Kita ada peluang di kesemua kawasan yang kita peroleh. Masuk banyak tak menang, masuk sikit boleh menang, Insya-Allah semoga ini jadi lonjakkan kepada sejarah PAS di  Johor,” katanya pada sidang di sesi pengenalan calon Pas Johor di di Bandar Baru Uda, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, pihaknya telah pun membuat perancangan gerak kerja untuk memastikan ke empat-empat calon mampu memonopoli semua kerusi di Johor.

Ia termasuk memberi tumpuan kepada media sosial bagi menarik minat pengundi muda, ujarnya.

“Lepas penamaan calon kita akan lebih rancak untuk menarik golongan muda termasuk undi automatik 18 tahun yang sudah boleh mengundi yang melibatkan jumlah besar.

“Dalam menarik minat pengundi ini, macam-macam cara. Mungkin kita akan tonjolkan sikap kebapaan dan kewibaan. Pengundi kali pertama juga saya rasa ramai.Jadi kita ada program khusus untuk golongan muda dan tidak menafikan akan menggunakan medium sepatutnya, katanya.

Abdullah yang juga Timbalan Pengerusi PN Johor akan bertanding di kerusi Parlimen Muar manakala Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr. Abdul Karim Deraman bertanding di Parit Sulong.

Mohd. Nazari Mokhtar akan bertanding di kerusi Parlimen Tenggara dan calon tunggal muslimat Pas, Zanariyah Abdul Hamid akan merebut kerusi Sri Gading.

Pada PRU14, Pas Johor yang bergerak secara solo bertanding di 20 kerusi daripada 26 kerusi yang dipertandingkan gagal memperoleh kemenangan. – MalaysiaGazette