Antara perwakilan yang hadir pada Perasmian Persidangan Agung Tahunan Pertama Parti Bangsa Malaysia (PBM) di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan mengumumkan senarai calon untuk pilihan raya umum dalam masa terdekat.

Persetujuan itu dicapai oleh presiden parti, Datuk Larry Sng Wei Shien dengan Datuk Seri Zuraida Kamaruddin dalam satu pertemuan yang diadakan pagi tadi.

Namun PBM menerusi kenyataan tidak memaklumkan perkembangan isu jawatan presiden yang menjadi pertikaian.

Sebaliknya, parti berkenaan secara ringkas berkata, isu berkaitan pentadbiran PBM hanya akan dibincangkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Ketetapan Datuk Larry Sng akan menandatangani watikah calon-calon yang bertanding,” kata Jabatan Penerangan dan Komunikasi PBM menerusi kenyataan.

PBM menarik perhatian politik tanah air apabila kedudukan Presiden PBM menjadi pertikaian.

Larry yang juga Ahli Parlimen Julau mengisytiharkan beliau masih presiden parti tersebut.

Namun Zuraida yang juga penyandang Parlimen Ampang memberi jaminan isu itu akan selesai sebelum hari penamaan calon pada 5 November ini.

Untuk rekod pada Jun yang lalu, PBM memutuskan akan melantik Zuraida  sebagai bakal presiden parti itu.-MalaysiaGazette