Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan nama calon bagi kerusi Parlimen Arau dikosongkan kerana ingin memberi laluan kepada Shahidan Kassim bertanding mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, ia berlaku pada saat akhir disebabkan rundingan belum dimuktamadkan di peringkat gabungan itu dan Pas Pusat dengan Shahidan.

“Ya PN nak beri laluan kepada Shahidan. Kita tunggu lampu hijau daripada PN dan Pas pusat.

“Cadangnya begitu. Apapun tunggu keputusan dua-dua pihak,” katanya yang dipetik FMT.

Semalam, Shahidan mengesahkan tetap mahu bertanding di kerusi Parlimen Arau walaupun perlu menggunakan tiket parti lain selepas namanya digugurkan sebagai calon BN dan digantikan dengan Rozabil Abdul Rahman.

Selain itu, Shukri yang juga pesuruhjaya Pas Perlis berkata, pihaknya sebelum ini menghantar nama calon untuk dipilih di peringkat Pusat untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

Menurutnya, keputusan telah dibuat sebelum ini untuk meletakkan calon Pas bertanding di kerusi itu.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan situasi semasa, PN negeri mahu memberi laluan kepada Shahidan atas faktor “boleh menang” dimilikinya serta dilihat mampu meningkatkan gelombang gabungan itu di Arau.

“Pas tidak ada masalah. Saya tidak pasti dengan Bersatu, tetapi saya rasa mereka juga tidak ada masalah. Saya rasa ia akan jadi kenyataan,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya penyokong Pas di peringkat akar umbi akan merestui keputusan itu kerana ketaatan kepada parti.

Beliau turut menjangkakan pengumuman rasmi calon kerusi Parlimen Arau akan diumumkan bersama calon PN Terengganu dan Kelantan malam ini. – MalaysiaGazette