Ahli Jawatankuasa UMNO Pasir Salak, Dr. Faizal Tajuddin bercakap pada sidang media membantah pengguguran Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai calon P.073 Pasir Salak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Dr Faizal Tajuddin tidak gentar dengan tindakan parti termasuk digantung mahupun dipecat kerana mempertahankan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, walaupun beberapa ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah bertindak menutup beberapa bilik gerakan parti, namun ia bukan satu ancaman kepada UMNO.

Sebaliknya beliau berkata, ia adalah satu tindakan secara spontan selepas Tajuddin digugurkan daripada senarai calon Parlimen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Buat pertama kali dalam sejarah pilih raya, calon untuk Parlimen Pasir Salak yang dicadangkan telah ditolak.

“Ini bukan ugutan atau amaran, ini kesan semula jadi. Untuk setiap reaksi itu akan ada tindak balas.

“Mungkin lepas ini saya sendiri dipecat atau digantung keahlian. Saya bawa suara akar umbi UMNO Pasir Salak.

“Saya tidak gentar atau takut, saya tidak bersendirian dan UMNO Bahagian Pasir Salak juga tidak bersendirian,” katanya pada sidang media di Hotel Seri Pasifik, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, tular di media sosial senarai 10 pemimpin UMNO yang tersingkir daripada pencalonan Parlimen bagi mewakili BN dalam PRU15 pada 19 November ini.

Antara nama yang disebut-sebut itu ialah Tajuddin (Pasir Salak), Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang), Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan menggugurkan Tajuddin sebagai calon Parlimen Pasir Salak akan menimbulkan gelombang menentang kezaliman Presiden UMNO.

“Adakah akan ada satu gelombang yang akan menentang kezaliman ini? Adakah akan ada gelombang untuk menentang pemimpin diktator?

“Masa tidak sesuai, kita berdepan dengan pilihan raya, musuh sebenar kita adalah pembangkang.

“Kenapa mereka tak fikir sewaktu buat keputusan? Apa pertimbangan yang mereka fikirkan semasa buat keputusan ini

“Adakah terdapat Pakatan untuk menukarkan mereka yang tidak sebulu dengan atau tidak menyokong beliau (Zahid),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Berfikirlah seperti orang dewasa yang matang akal fikiran. Jangan jadi macam budak kecik yang tak dapat ice cream. Ini masa PRU untuk golongan muda. Orang lama patutnya tolonglah bimbing orang muda . Pandanglah ke hadapan untuk berikan pengalaman PRU akan datang dimana orang muda akan mengorak langkah. Ini strategi untuk menstabil dan mengukuhkan BN/ UMNO. Dr Faizal kenapa fikiran dungu. Tak berfikiran startegik.

Comments are closed.