Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kerjasama dengan Pas dan Parti Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) antara paling mudah dan senang diuruskan.

Pengerusi PN itu berkata, komponen parti itu tidak mengambil masa lama untuk berbincang dalam hal berkaitan pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta pemilihan calon.

“Rundingan kerusi antara komponen PN sudah selesai. Tidak ada yang berhentak meja, jauh sekali bertengkar dan bergaduh. Semuanya berjalan lancar dan kami saling hormat menghormati.

“Parti Bersatu dan Pas kini sudah menjadi sahabat yang cukup akrab dan karib, macam abang adik. Sepanjang bersama, kita tidak pernah berselindung, tidak ada yang tersembunyi.

“Perjuangan kita adalah sama-sama untuk menegakkan sebuah negara yang prihatin dan stabil,” katanya berucap pada majlis Pengumuman Calon PN di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan barisan pimpinan tiga parti komponen PN.

Menurut Muhyiddin, semangat perjuangan PN adalah tinggi untuk selamatkan negara daripada jatuh ke tangan kleptokrat, perasuah dan kumpulan kluster mahkamah.

“Semangat kita tinggi kerana perjuangan kita adalah untuk negara. Jihad fisabilillah, jangan negara jatuh kepada tangan kleptokrat, puak rasuah, kluster mahkamah, jangan jatuh kepada kumpulan yang tidak mendokong semangat Melayu dan bangsa.

“Ini tugas kita, tanggungjawab kita. Saya tak nak ulang isu-isu rasuah, pergi ke mahkamah. Kita tidak akan rela lihat negara kita jatuh di tangan mereka,” ujarnya.

Beliau turut memperkenalkan bakal calon PN yang mempunyai ciri-ciri prihatin kepada rakyat, selain tokoh berpengalaman, berkaliber dan akan memikul amanah dengan penuh tanggungjawab.

Katanya, PN juga akan melancarkan manifesto parti itu pada 6 November ini dengan janji akan mengurus nasib rakyat jika diberi mandat membentuk kerajaan dua pertiga pada PRU15 ini.

“Seluruh bala tentera PN sudah bersiap siaga. Segala peluru sudah disiapkan. Tenaga anak muda sudah bersedia. Wanita juga sudah bersedia,” katanya.

Bercakap kepada media selepas itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN telah membuktikan kepada rakyat, walaupun dapat memerintah dalam tempoh singkat, tetapi bawah pimpinannya, berjaya menyelesaikan beberapa kemelut besar.

“Bukan nak masuk bakul angkat sendiri, tapi ini hakikatnya. Kita bertindak bukan dengan perkataan (ucapan), tapi tindakan yang cukup berkesan untuk bela rakyat.

“Negara kita berada dalam krisis tidak baik. Kebetulan pula nak diadakan pilihan raya, di mana rakyat akan keluar mengundi dan memilih parti untuk membentuk kerajaan.

“Maka kerajaan yang hendak dibentuk pastinya kerajaan yang prihatin, yang dapat pikul tugas dan beban yang besar. Soalannya siapakah antara parti yang dapat memikul amanah dan tanggungjawab ini? Tidak lain PN,” katanya.

Katanya, sudah tentu ada sebab musabab kenapa PN menjadi satu parti yang diterima dan disukai oleh sebahagian besar rakyat.

“Tentulah kerana dalam tempoh lebih dua tahun lalu, rentetan sejarah yang menyaksikan dunia berhadapan dengan masalah kesihatan yang begitu besar dan rumit iaitu pandemik Covid-19.

“Tindakan dan langkah yang kita ambil untuk menangani wabak dianggap suatu yang agak luar biasa, yang menyebabkan kesannya amat besar kepada rakyat kita.

“Waktu itulah pimpinan PN yang saya terajui ambil langkah agak luar biasa demi memastikan rakyat kita terpelihara daripada terkena wabak Covid-19, yang mana menjangkit seantero dunia dan menyebabkan ramai terkorban,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast