Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran hadir pada Mesyuarat Tergempar MIC mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran hari ini mempengerusikan mesyuarat tergempar parti itu berhubung spekulasi sama ada akan menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Masalah dalam keluarga,” kata beliau ringkas ketika ditanya tujuan mengadakan mesyuarat tergempar itu sebaik tiba di Ibu Pejabat MIC di sini.

Turut hadir pada mesyuart itu adalah timbalannya, Datuk Seri M Saravanan, Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) dan pengerusi MIC negeri.

Malam tadi, pemimpin parti itu tidak hadir pada majlis pengumuman calon Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk PRU15.

BN telah memperuntukkan 10 kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak dan satu DUN di Pahang untuk MIC.

Namun difahamkan MIC tidak berpuas hati dengan jumlah peruntukan kerusi kepada parti, termasuk beberapa kerusi tradisi seperti Cameron Highlands tidak diberikan kepada mereka.

MIC dikatakan memohon jumlah kerusi yang lebih selepas Parti Gerakan yang merupakan salah satu komponen parti keluar daripada BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette