Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang bercakap kepada media selepas pengumuman Calon-calon kerusi DUN Pakatan Harapan ketika di Travelodge Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 03 NOVEMBER 2022.

IPOH – PKR Perak menolak sebarang pengumuman awal nama calon menteri besar Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PKR Perak, Chang Lih Kang berkata, nama calon menteri besar Perak daripada PH tidak wajar diumumkan dan dibincangkan pada waktu ini.

Ini kerana parti itu perlu memastikan kemenangan calon-calon yang bertanding terlebih dahulu.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat beberapa calon daripada parti itu yang layak untuk dipertimbangkan sebagai menteri besar.

Secara berjenaka, Lih Kang berkata, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri lebih layak untuk jawatan itu.

“Siapa-siapa pun boleh jadi calon MB. Rasa rasa kalau peluang itu Pengerusi MPN Perak lebih cerah peluang.

“Kita tolak dahulu lawak tersebut. Saya rasa ini bukan masa untuk pertimbangkan perkara itu.

“Kita perlu menang dahulu semua kawasan yang kita tandingi hanya selepas itu kita buat keputusan,” kata Lih Kang yang juga Naib Presiden PKR.

Hari ini Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengumumkan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman sebagai calon menteri besar Perak.

Lih Kih bagaimanapun seperti tidak menyedari bahawa Rafizi telah membuat pengumuman tersebut.

Lih Kah berkata, laporan media mengenai pengumuman nama calon menteri besar Perak itu bukan dibuat oleh Rafizi tetapi datangnya daripada satu sumber.

“Tidak daripada Rafizi. Dia bukan daripada Rafizi. Ia hanya daripada sumber.

“(Media: Rafizi umumkan hari ini) Tanyalah Rafizi. Semua ini telah dibincangkan tetapi seperti yang saya katakan ini bukan masa untuk umumkan.

“Saya ingin sahkan ada beberapa calon yang layak untuk menjadi MB Perak tetapi kita kena menang dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pengumuman 21 calon PKR yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Perak.

Media hari ini melaporkan Rafizi berkata, PH telah menamakan Zainal Azman sebagai calon menteri besar Perak sekiranya PH menang pada pilihan raya nanti.

Rafizi berkata, ia adalah ‘perjudian besar’ bagi PH menamakan Zainal sebagai calon menteri besarnya, tetapi menegaskan ia adalah keputusan yang tepat. – MalaysiaGazette