Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di Malaysia akan bermula lebih awal daripada yang dijangka iaitu pada 7 November 2022 dan berterusan sehingga Mac 2023.

Empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan berpotensi berlaku sepanjang tempoh ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, seperti musim-musim yang lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat.

Kejadian air pasang besar dijangka berlaku dalam tempoh antara 6 – 11 & 22 – 27 November 2022; 7 – 12 & 22 – 26 Disember 2022 dan
6 – 10 & 21 – 25 Januari 2023.

Semasa MTL, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi. – MalaysiaGazette