Calon Warisan DUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng bercakap kepada media selepas Pengumuman calon dan penyerahan watikah Warisan Perak di Hotel Tower Regency, Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 03 NOVEMBER 2022.

IPOH – Leung Cheok Keng akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar, Leung Cheok pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menggunakan tiket parti Warisan .

Cheok Keng yang memenangi kerusi itu atas tiket DAP menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebelum Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menawarkan beliau menjadi calon parti tersebut untuk bertanding di DUN berkenaan.

“Saya dengan rendah diri terima cabaran untuk kembali bertanding di tempat saya yang telah saya berjaya kekalkan dua dua penggal sebelum ini. Saya amat kenal kawasan DUN saya, amat kenal kehendak dan keperluan orang di sini.

“Pengundi pernah tengok kerja-kerja dan khidmat saya selama ini, jika hendak lagi perlu mengundi lagi dengan betul supaya apa yang diberikan ini akan berterusan untuk tempoh lima tahun akan datang lagi.

“Harap pengundi Malim Nawar akan buat keputusan yang terbaik dan betul. Kali ini cabaran lebih besar kerana selama ini pertandingan di Malim Nawar hanya satu lawan satu, kali ini lebih dari satu. Saya harap dapat menyumbang kepada parti Warisan,” katanya selepas majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Warisan Negeri Perak, di sini, hari ini.

Pada 11 September 2019, Cheok Keng bersama seorang lagi wakil rakyat DAP, Leow Thye Yih (Pokok Assam) mengumumkan peletakan jawatan dalam jawatankuasa DAP Perak.

Keputusan tersebut dibuat selepas mereka tidak berpuas hati dengan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berhubung perbincangan dalam Pakatan Harapan (PH) mengenai kedudukan Exco kerajaan negeri, Paul Yong yang menghadapi pertuduhan merogol pembantu rumah.

Berikutan itu, Cheok Keng mengambil keputusan menyertai PBM.

Pengerusi Warisan Negeri Perak, Datuk Sunther S. Subramania (kanan) bersama Ketua Penyelaras Warisan bagi Semenanjung Malaysia, Dr Rajiv Bhanot membuat gimik pelancaran Jentera Parti Warisan Negeri Perak pada Pengumuman calon dan penyerahan watikah Warisan Perak di Hotel Tower Regency, Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 03 NOVEMBER 2022.

Sementara itu, Pengerusi Warisan Perak, Datuk S Sunther berkata, partinya akan bertanding empat kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN di Perak.

Parti itu akan bertanding di Parlimen Kampar, Gopeng, Tapah dan Lumut manakala lapan kerusi DUN yang bakal ditandingi ialah Malim Nawar, Sungai Rapat, Teja, Simpang Pulai, Chenderiang, Ayer Kuning, Pasir Panjang serta Pangkor.

“Kita pilih kerusi berdasarkan analisis data yang dibuat selain calon tempatan termasuk yang termuda berumur 29 tahun di DUN Simpang Pulai,” ujarnya.

Pada 18 Jun lepas, Mohd Shafie ketika menerima borang keahlian di Ipoh memaklumkan parti itu hanya akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN Perak yang diyakini mampu meraih kemenangan.

DUN Perak mempunyai 59 kerusi yang mana 25 kerusi milik Barisan Nasional diikuti DAP (15), Parti Amanah Negara (5), Parti Pribumi Bersatu (4) dengan Pas, PKR dan Parti Bangsa Malaysia masing-masing tiga kerusi manakala bebas (1). -MalaysiaGazette