Amirudin Shari

SHAH ALAM – Tidak timbul mana-mana penyandang yang kecewa mahupun bertindak memboikot selepas nama mereka digugurkan Pakatan Harapan (PH) sebagai calon Parlimen untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan, penyandang Parlimen terbabit tidak akan bertindak sedemikian mahupun bertanding sebagai calon bebas di kerusi sama, 19 November ini

“Alhamdulillah kita sudah capai kata sepakat sebagai satu pasukan dan jentera malah kita sangat gembira bersama MUDA menjadi jentera tambahan di Selangor.

“Kalau ada (penyandang) bertanding bebas, itu tindakan peribadi dan kita yakin majoriti (penyandang) bersama dengan kita.

“Buktinya selepas Langkah Sheraton yang sebahagiannya adalah pemimpin Selangor, tiada satu pun cabang di Selangor ditutup,” katanya pada sidang media di Dewan Raja Muda Musa, di sini, malam ini.

Sebelum ini, penyandang kerusi Parlimen Klang selama tiga penggal, Charles Santiago digugurkan sebagai calon DAP di kerusi berkenaan pada PRU15.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemuning, V Ganabatirau akan menggantikan posisi Charles.

Selain Charles, tiga calon lain iaitu Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan akan bertanding di kerusi Parlimen Bangi bagi menggantikan Ong Kian Ming, manakala penyandang Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin pula diletakkan di Parlimen Puchong.

Ia bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Puchong yang ditinggalkan penyandangnya, Gobind Singh Deo kerana dipindahkan ke kerusi Parlimen Damansara yang dikosongkan Tony Pua. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast