repatriation mission malaysians New Delhi Mumbai India Covid-19
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan pertama 36 daripada 63 jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.50 pagi tadi.

Baki 27 jemaah lagi akan dibawa pulang menerusi penerbangan seterusnya.

Kementerian Luar Negeri berkata, urusan membawa pulang jemaah umrah yang terkandas ini telah dilaksanakan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi demi memelihara hubungan akrab kedua-dua negara.

“Dan keistimewaan yang telah diberikan kepada Malaysia ini  seperti kemudahan visa pelancong yang hanya diberikan kepada 49 negara sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam kenyataan bersama terdahulu, Wisma Putra dan Pejabat Perdana Menteri berkata, kumpulan yang terkandas ini dibawa ke Madinah oleh kumpulan Tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu.

Mereka terdiri daripada 28 jemaah dewasa dan 35 kanak-kanak yang telah dibawa ke Madinah.

Namun mereka hanya berada di Madinah dan tidak dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.

Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu dan kerajaan komited untuk memastikan keselamatan serta kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara melalui bantuan konsular berdasarkan kepada Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963.

Wisma Putra juga menasihatkan rakyat Malaysia sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di luar negara. – MalaysiaGazette