muda rembau
Nazree Yunus

REMBAU – “Penat tengok ahli politik yang lama ni bergaduh tak sudah,” demikian luahan golongan muda, di sini, kepada calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Rembau, Nazree Yunus.

Selain itu, golongan muda mahu wakil rakyat yang boleh berkomunikasi dengan mereka tanpa melalui pihak tertentu dan tinggal dalam kawasan Parlimen Rembau.

Mereka juga mahu Ahli Parlimen yang memahami keperluan dan kehendak golongan muda.

“Ini antara lontaran pandangan anak-anak muda Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong yang mereka ini tinggal dan bekerja di Rembau.

“Mereka ini berumur antara 18 hingga 23 tahun.

“Setelah saya berbual menerangkan visi dan misi saya jika menang di Parlimen Rembau, mereka jadi sangat bersemangat!” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Nazree bakal bersaing untuk mendapatkan kerusi Parlimen Rembau dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) serta Jufitri Joha (Pakatan Harapan), Ramly Awaluddin (Gerakan Tanah Air) dan S. Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia).

Beliau mengulas tentang pertemuan santai dengan sekumpulan anak muda, di sini, malam tadi.

Nazree menambah, mereka juga akan menubuhkan jentera bagi membantu kempennya serta mengajak rakan-rakan keluar mengundi.

“Mereka sangat bermaklumat kesan penggunaan sosial media yang cukup meluas dalam kalangan anak muda,” katanya. – MalaysiaGazette