KUALA LUMPUR – R Sivarasa mendedahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengetahui lebih awal mengenai pencalonan Khairy Jamaluddin di Parlimen Sungai Buloh.
Sivarasa berkata, malah Anwar sendiri yang memberitahunya tentang pencalonan Khairy di kawasan itu.
“Pencalonan Khairy Jamaluddin di Sungai Buloh sudah kita ketahui beberapa hari dan Anwar sudah membawa pencalonan itu kepada perhatian saya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kenyataan satu muka surat itu, Sivarasa turut mengulas mengenai masalah pita suaranya.
Kata Sivarasa, Anwar ada menimbulkan kebimbangan sama ada beliau boleh menguruskan siri kempem sekiranya dicalonkan semula di Parlimen Sungai Buloh.
“Sepanjang tiga bulan lalu, saya menghadapi masalah dengan pita suara dan kini menggunakan pembesar suara untuk bercakap sekali gus menjaga suara saya.
“Saya telah terangkan bahawa saya mempunyai pandangan yang berbeza dan cara saya menguruskan kempen secara berbeza dengan mengambil kira keadaan suara saya,” jelas beliau.
Namun, Sivarasa berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh Anwar sebagai Pengerusi PH dan Presiden PKR.
“Dia (Anwar) mempunyai hak untuk membuat keputusan akhir dengan mengambil kira pandangannya tentang keadaan kesihatan saya dan sebarang faktor lain yang dia anggap relevan,” katanya lagi.
Sivarasa digugurkan oleh PKR dan digantikan timbalan ketua penerangannya, Datuk R Ramanan.
Pada PRU14 lalu, Parlimen Sungai Buloh dimenangi oleh Sivarasa selepas memperoleh majoriti 26,634 undi menewaskan Nuridah Salleh dari Pas, A Prakash Rao mewakili BN dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). – MalaysiaGazette