TEMERLOH – Calon Menteri Besar akan ditentukan pada malam pengundian sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas negeri Pahang.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah memilih calon MB kerana ramai berkelayakan.
Menurutnya, calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terdiri daripada ramai profesional.
Dalam pada itu, PKR juga perlu berunding dengan Amanah negeri juga berhubung perkara yang sama.
“Bagaimanapun paling penting kita pastikan dahulu kemenangan Pakatan Harapan dan Keadilan di Pahang terlebih dahulu,” katanya selepas Majlis Amanat Kepada Calon-Calon Keadilan Pahang di sini hari ini.
Menteri Besar Selangor itu juga mengakui sukar bagi calonnya melawan Parlimen Bera memandangkan reputasi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.
Namun berdasarkan rekod kemenangan tipis Ismail Sabri sebelum ini dan dakwaan kerajaan pimpinannya gagal berperanan dengan baik juga akan memberi kelebihan kepada pihaknya bersaing.
Bagi Parlimen Bera, PKR meletakkan bekas Pengarah Pelajaran Kuala Lumpur, Abas Awang. – MalaysiaGazette