Penyelaras Pejuang Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Rofaei Mohd Hamdan (dua dari kanan) mengibarkan bendera Perikatan Nasional (PN) sebagai tanda sokongan di Temerloh hari ini.

TEMERLOH – Tidak berpuashati dengan Aminuddin Yahaya – Penyelaras Gerakan tanah Air (GTA) Parlimen Temerloh berpaling tadah dan menyatakan sokongan terhadap calon Perikatan Nasional (PN).

Datuk Mohd Rofaie Mohd Hamdan mendakwa, bekas Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mencaturkan calon-calon Gerakan Tanah Air (GTA) sesama rakannya dari blok pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadi calon Pejuang di Temerloh.

Aminuddin merupakan calon Pejuang bagi Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan beliau juga Pengerusi GTA Pahang.

“Kami rasa kecewa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad (Pengerusi Pejuang dan GTA) kerana telah diperguna dan diugut mereka dari NGO yang mengambil kesempatan menjadi calon dan meminggirkan calon Pejuang dari Temerloh sendiri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sidang media yang sama turut dihadiri Ketua Dewan Muslimat Pas Pahang, Salamiah Mohd Noor yang menjadi calon PN bagi Parlimen Temerloh, Timbalan Yang Dipertua Pas Temerloh, Hasanuddin Salim (calon PN DUN Kuala Semantan dan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Temerloh, Hasan Omar (DUN Lanchang).

Menurut Mohd Rofaie, isu Aminuddin menyisihkan ahli-ahli parti Pejuang Temerloh telah dimaklumkan kepada Dr. Mahathir dan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz namun ia ibarat mencurah air di daun keladi.

“Semua calon GTA di Temerloh adalah tangkap muat,” katanya lagi.

Paling teruk, menurut Mohd Rofaie, pencalonan Syafiq anak kepada Ahli Jawatankuasa Tertinggi GTA, Khaidir Ahmad yang menjadi calon DUN Semantan.

Khaidir gagal menjadi calon masalah status muflis.

“Berbeza dengan calon-calon PN di Temerloh ini semuanya berkaliber dan ada potensi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) yang menjadi matlamat Pejuang,” katanya.

Pada sidang media yang sama, Mohd Rofaie dipakaikan baju vest PN dan mengibarkan bendera PN sebagai gimik menyokong gabungan parti berkenaan di Temerloh. – MalaysiaGazette