GUA MUSANG – Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan dua pemimpin Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN) selepas tidak dicalonkan semula, sebagai bukan pejuang sebenar parti.
Penyandang kerusi Parlimen Gua Musang itu berkata, pemimpin yang sebenar seharusnya memahami bahawa, pucuk pimpinan parti memerlukan calon yang lebih layak berkhidmat untuk rakyat dan bukan untuk diri sendiri.
Tengku Razaleigh berkata, langkah parti menggugurkan muka lama tidak bermakna pemimpin lama itu tidak bagus, sebaliknya parti bertindak sedemikan bagi menampilkan muka baharu yang boleh memberi khidmat lebih baik kepada rakyat.
“Kalau orang lain masa dia jadi pemimpin dapat menukar orang dan orang itu bersabar, dia juga patut bersabar jugalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Jaring Piala Ku Li di Bukit Cekati, di sini hari ini.
Tengku Razaleigh berkata apabila tiba masanya, beliau sendiripun mungkin tidak lagi dicalonkan oleh parti untuk bertanding maka ketika itu perlulah bersabar.
“Jadi kita kena fahamlah dan hakikatnya kita mahu parti menang. Bukan diri kita menang,” katanya.
Tengku Razaleigh berkata, ahli politik seharusnya sedar, terdapat tempoh tarikh luput bagi perkhidmatan mereka.
“Kita jadi alat kepada rakyat dan juga kepada parti, jadi ini bukan milik kita. Sampai masa kita pun kena berundur,” katanya.
Semalam Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, masing-masing akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau dan Maran atas tiket PN selepas mereka tidak dicalonkan BN. – BERNAMA