Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Biarpun Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan UMNO rosak sejak dahulu tapi hakikatnya parti itulah yang melahirkan pemimpin-pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, ketiga-tiga mereka inilah yang hendak menjadi Perdana Menteri ke-10 semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 ini.

”Buruk sangat ke UMNO. Baik sangat ke DAP dan Pas?,” sindir Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO ini menambah, walaupun PKR dan Bersatu kata mereka suci tapi parti-parti ini belum boleh mencadangkan nama Perdana Menteri yang betul-betul suci dari DNA UMNO.

Harapan beliau, PKR mahupun Bersatu dapat melahirkan nama pemimpin baharu yang tidak pernah terpalit dengan UMNO.

Bukan apa, tetapi kerana parti UMNO yang telah melahirkan pemimpin-pemimpin tersebut dan menjadi ikutan pada hari ini.

Jadi beliau minta parti-parti berkenaan timbang-timbanglah dalam memburuk-burukkan UMNO.

“Kalau tak jumpa kilo, gunalah dacing,” sindir beliau. – MalaysiaGazette