Santhara Kumar melaksanakan tugasan terakhirnya di Parlimen Segamat.

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar mungkin menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut sumber, Santhara merupakan antara calon yang menjadi sebutan untuk bertanding di Parlimen tersebut.

Tambah beliau, walaupun Santhara telah keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) namun masih ramai penyokongnya mahu beliau bertanding atas tiket Bersatu.

“Masyarakat Segamat masih memerlukan khidmatnya di kawasan itu. Calon PN tidak sekuat Santhara. Memang ada perbincangan, kita tengok bagaimana,” katanya.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette difahamkan Naib Ketua Bersekutu Bersatu Negeri Johor, Datuk R Sivarajah menggesa pucuk pimpinan parti meneliti semula pilihan calonnya itu.

Sivarajah mendakwa calon pilihan PN, P. Poobalan bukan sahaja tidak aktif tetapi juga bukan anak tempatan.

“Walaupun, namanya sudah diumum sehingga hari ini dia tidak membuka bilik gerakan.

“Jentera partinya pun tidak berjalan. Ini satu petunjuk jelas bahawa PN jauh di belakang berbanding PH dan BN dan mungkin akan kalah pada PRU, jika pucuk pimpinan PN ingin mengekalkan calon ini. Mungkin calon ini di tempatkan di sini kerana penyandangnya telah meninggalkan PN dan sertai PBM,” katanya yang juga Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Bahagian Segamat.

Datuk R Sivarajah

PH mempertaruhkan, R Yuneswaran dari PKR sementara MIC mencalonkan Bendahari Agungnya, Tan Sri M Ramasamy untuk merebut kerusi tersebut.

Sivarajah berkata, pihaknya pernah menjemput Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Kebangsaan, Dr Chong Fat Full untuk bertanding di Segamat namun beliau menolak.

Pada PRU14, Santhara menang kerusi Parlimen Segamat dengan mengalahkan penyandangnya, S Subramaniam dengan majoriti 5,476 undi. – MalaysiaGazette