Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique bercakap pada sidang media selepas pada Program Galeri Uniti Keluarga Malaysia Anjuran Kementerian Perpaduan Negara di Berjaya Times Square Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique mengakui beliau adalah ahli Barisan Nasional (BN) yang setia dengan parti dan akur dengan keputusan pucuk pimpinan tidak mencalonkannya semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah beliau yang juga Menteri Perpaduan Negara mempamerkan sifat berjiwa besar dan tidak merasai apa-apa apabila digugurkan sebagai calon BN pada PRU15.

Beliau turut memberitahu akan membantu semua calon BN dengan turun berkempen untuk memenangkan mereka.

“Saya terima keputusan parti dan saya orang parti.

“Apa sahaja keputusan parti saya akur. Kepada kerusi yang ditandingi, saya mendoakan kejayaan semua calon BN dan mudah-mudahan pengundi yang ada akan berikan sokongan padu dengan menterjemahkan kejayaan untuk kebaikan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Galeri UNITI Keluarga Malaysia di Berjaya Times Square di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas penggugurannya pada PRU15 daripada bertanding di Parlimen Kota Tinggi sebaliknya digantikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Selain Halimah, turut digugurkan penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba yang terpaksa melepaskan kerusi Parlimen Tenggara kepada Ketua Pemuda UMNO Tenggara, Manndzri Nasib.

Penyandang lain yang tidak dicalon semula adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Maran); Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin); dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Mengulas lanjut, Halimah berkata, calon baharu di Kota Tinggi perlu agresif mempromosikan diri agar pengundi lebih mengenalinya.

“Beliau perlu kenalkan diri dengan lebih rapat untuk yakin pengundi dalam parlimen untuk memberikan sokongan padu dan memenangkan calon BN,” katanya.

Ditanya tindakan segelintir penyandang kerusi Parlimen BN yang akan bertanding di bawah parti lain, Halimah enggan mengulas tentang tindakan mereka itu.

Sementara itu, Halimah mula bertanding di Parlimen Tenggara pada tahun 2008 dan mengekalkan jawatan itu pada penggal berikutnya sebelum berpindah ke Kota Tinggi pada PRU 2018. – MalaysiaGazette