Abdul Hadi Awang Pas UMNO
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Episod pemimpin UMNO yang akan bertanding menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) tidak akan terhenti pada Datuk Seri Shahidan Kassim.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, terdapat beberapa pemimpin UMMO yang digugurkan akan diambil untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), 19 November depan.

“Ada lagi (pemimpin UMNO yang akan bertanding guna tiket (Perikatan Nasional). (Ia) Sedang dalam proses. Saya tidak boleh sebut berapa lagi kerusi.

“Yang penting ada di utara, tengah dan di selatan,” katanya dalam sidang media selepas ceramah perdana sempena majlis Pengisytiharan Calon PRU15 Pas di Marang, Terengganu, semalam.

Jelas Abdul Hadi, perkara itu akan diumumkan sebelum hari penamaan calon, pagi esok.

Pada majlis sama, Pas turut mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim akan mempertahankan kerusi itu menggunakan tiket PN.

Abdul Hadi berkata, pemilihan Shahidan sebagai calon adalah atas kapasiti beliau mempunyai pengaruh yang kuat di Perlis.

“Beliau dari awal lagi bersama kita daripada Parlimen dan kerjasama bermula awal lagi.

“Beliau menunjukkan keberanian mengkritik presiden UMNO. Dia diambil tindakan secara terbuka dan kita sedar dia ada pengaruh dan bukan sahaja di Arau tapi termasuk DUN di Perlis.

“Kita buka tangan untuk tawan Perlis,” ujarnya.

Shahidan antara pemimpin UMNO yang digugurkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan digantikan dengan pemimpin yang lebih muda.

Selain Shahidan, turut digugurkan adalah Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi), Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara), Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Maran), Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), dan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol).

Selain itu Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang) turut tidak disenaraikan sebagai calon PRU15.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas akan bertanding di 64 kerusi Parlimen manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding di lebih 70 kerusi dan Gerakan 20 kerusi.

Bakinya akan ditandingi oleh parti gabungan dengan Bersatu sebanyak 20 kerusi, ujarnya.

“Kecuali (kerusi Parlimen) Sarawak kita serah kepada GPS, dan di Sabah pun begitu juga di bawah GRS,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Haaa…PN ni dah mcm tukang pungut sampah plak..sape2 yg BN tak nak..dah kena reject, boleh laaa join PN..

  2. Amek jer lah tok hadi oiii..UMNO xperlu pun org yg x setia dlm parti keramat ni..1 pergi 10 yg dtg dan lebih setia serta berkaliber.

Comments are closed.