Dr Rosni Adam

KUALA LUMPUR – Kemenangan Allahyarhamah, Dr Lo Lo’ Mohd Ghazali pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) menjadi inspirasi buat calon tunggal wanita Parlimen Titiwangsa, Dr Rosni Adam untuk merebut kerusi itu.

Untuk rekod, penyandang Parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo’ merupakan anak perempuan kepada bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Namun beliau tidak sempat menghabiskan penggalnya pada ketika itu apabila meninggal dunia pada 17 Julai 2011 akibat barah.

Rosni merupakan seorang doktor gigi berkata, legasi yang ditinggalkan Dr Lo Lo’ sewaktu menjadi wakil rakyat di Titiwangsa pada 2008 akan diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

”Ya memang legasi Dr Lo Lo’ sangat membantu saya kerana kebanyakan tempat yang saya pergi semua bercakap mengenai beliau. Kebanyakan yang bercakap itu adalah orang tua sebab arwah betul-betul berkhidmat pada waktu itu.

”Itu saya rasa lega dan boleh menjadikan beliau sebagai satu selling point (modal) untuk meneruskan legasinya,” katanya.

Rosni yang juga Ahli Jawatan Kuasa Kerja Pas Pusat berkata demikian selepas selesai proses penamaan calon Parlimen Titiwangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, di sini, hari ini.

Tambah Rosni, beliau akan menggunakan kelebihannya sebagai Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas untuk membela kebajikan masyarakat di Titiwangsa.

“Isu Titiwangsa yang menjadi keutamaan saya sekarang adalah kebajikan mereka. Selain itu, isu lama seperti masalah pemilikan rumah dan tanah juga menjadi perhatian saya, macam mana nak cari jalan penyelesaian yang maksimum untuk penduduk Titiwangsa,” tambahnya.

Meskipun berdepan dengan pencabar lain yang tidak kurang hebatnya, Rosni berkata, beliau yakin kerana merupakan anak jati di sini.

”Saya bersekolah di kawasan ini, kemudian anak-anak saya juga bersekolah di sini, saya sudah dikenali penduduk sekitar,” ujarnya.

Rosni akan berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Johari Abdul Ghani, Khalid Abd Samad (PH) serta Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) pada PRU15, 19 November ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast