PBM wanita Larry
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) mencipta sejarah dengan meletakkan calon wanita di lima daripada tujuh kerusi Parlimen, bersamaan 66.7 peratus, yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, salah seorang daripada dua calon parti tersebut untuk pilihan raya negeri juga adalah wanita.

Mengetuai barisan calon wanita PBM ialah Presiden (dilantik), Datuk Zuraida Kamaruddin yang mempertahankan kerusi Parlimen Ampang dan Timbalan Presiden, Haniza Talha yang bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Calon-calon wanita PBM di kerusi-kerusi Parlimen yang lain ialah Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi (Kapar) dan Dayang Rusimah Mohd Din (Labuan).

Ahli perniagaan, Nazmahwati Walli akan bertanding mewakili PBM di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Sementara itu, Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, pencalonan tersebut adalah selaras dengan agenda PBM mengenai pemerkasaan
wanita.

“PBM telah melangkaui kuota 30 peratus yang ditetapkan oleh sesetengah parti politik lain untuk calon wanita. Dalam PBM, kami percaya kaum Hawa perlu memainkan peranan yang lebih dominan dalam politik kita yang didominasi lelaki.

“Kajian menunjukkan wanita lebih peka terhadap keperluan pengundi. Saya percaya jika lebih ramai wanita memegang jawatan penting di dalam politik negara, masyarakat kita tidak akan berpecah-belah seperti sekarang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, berbeza dengan beberapa parti lain, calon wanita PBM adalah pemimpin yang berkaliber.

Zuraida memberitahu, mereka mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam berkhidmat kepada masyarakat setempat dan kesemua mereka mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

“Pemerkasaan wanita sudah berada dalam DNA PBM. Inilah sebabnya kami merayu kepada pengundi untuk memberi peluang kepada PBM kerana kami percaya pemimpin wanita bukan sahaja efektif, tetapi mempunyai lebih empati,” jelasnya. – MalaysiaGazette