Mohd Zaidi (kanan), Muhammad Fawwaz, Nasir dan Nurul Izzah (kiri) antara calon yang akan berentap untuk kerusi Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berdepan pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pertandingan itu disahkan selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Permatang Pauh, Muzkhairil Muhamad mengumumkan senarai calon pada jam 11.07 pagi.

“Bagi Parlimen Permatang Pauh, seramai empat calon menghantar borang pencalonan dan tiada borang pencalonan ditolak sehingga tempoh penamaan calon ditamatkan pada jam 10 pagi.

“Borang pencalonan pertama dihantar oleh Nasir Othman,64, iaitu calon daripada parti Pejuang pada jam 9.03 pagi dan diikuti dengan Nurul Izzah Anwar, 42, (Pakatan Harapan) pada jam 9.04 pagi, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, 53, (Barisan Nasional) seminit kemudian serta Muhammad Fawwaz Mohd Jan, 39, mewalikan Perikatan Nasional pada jam 9.10 pagi.

“Bagaimanapun, borang pengisytiharan keputusan penamaan calon membabitkan Mohd Zaidi selesai pertama dan diikuti dengan Muhammad Fawwaz, Nasir serta Nurul Izzah,” katanya kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, di sini, hari ini.

Nurul Izzah merupakan penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas memenanginya dengan majoriti undi 15,668 undi pada PRU14. – MalaysiaGazette