Calon kerusi Parlimen Shah Alam (dari kiri) Azli, Muhammad Rafique, Isham dan Dr. Afif selepas diumumkan layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi Parlimen Shah Alam, Asmah Mohd Zain pagi ini.

SHAH ALAM – Parlimen Shah Alam menyaksikan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Mereka ialah calon Barisan Nasional (BN), Hizatul Isham Abdul Jalil, Dr. Afif Bahardin (Perikatan Nasional-PN), Azli Yusof (Pakatan Harapan-PH) dan Muhammad Rafique Rashid (Gerakan Tanah Air -GTA).

Empat nama itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi yang mewakili  kerusi Parlimen Shah Alam, Asmah Mohd Zain kira-kira jam 10.30 pagi ini.

Menurut beliau, bagi proses penamaan calon, Azli telah menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi, diikuti Isham jam 9.07 pagi, Dr. Afif jam 9.11 pagi dan Muhammad Rafique jam 9.16 pagi.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan tersebut dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati tiada calon yang ditolak kertas penamaannya.

“Dengan ini saya mengumumkan bahawa calon-calon yang disahkan bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam ialah Azli Yusof, Muhammad Rafique, Isham Jalil dan Dr. Afif,” katanya ketika mengumumkan nama calon di Pusat Penamaan Calon di Dewan Teratai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, di sini, hari ini.

Menurut Asmah, pusat mengundi akan dimaklumkan melalui Borang 8 iaitu Notis Pilihan Raya yang dipertandingkan, yang diwarta dan dipamerkan di pusat mengundi ditetapkan. – MalaysiaGazette