Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di kediamannya di Bagan Datuk selepas penamaan calon PRU15 hari ini.

BAGAN DATUK – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan mana-mana ahli UMNO yang tidak terpilih sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan masih bertanding sebagai pihak lawan berdepan pemecatan secara automatik.

Pemecatan itu turut terpakai pada ahli-ahli UMNO yang bertindak menjadi penyokong dan pencadang kepada calon tersebut.

“Saya telah arahkan Setiausaha Agung UMNO untuk mengeluarkan satu kenyataan berkaitan dengan fasa-fasa tertentu dalam perlembagaan yang dilanggar oleh ahli parti bertanding juga pada PRU ini menentang calon UMNO.

“BN dan UMNO mempunyai hak untuk memecat mereka secara automatik kerana merupakan langkah biasa kerana kita ikut tatacara etika yang terdapat dalam UMNO dan BN,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini sebentar tadi.

Antara yang mungkin berdepan dengan pemecatan ini termasuklah Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Datuk Ismail Abdul Mutalib yang sah bertanding kerusi Parlimen di atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRU ini. -MalaysiaGazette