KUALA LUMPUR – Tian Chua sedar tindakannya bertanding merebut kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya umum ke-15 (PRU15) sebagai calon bebas membawa kepada pemecatan keahlian PKR.
Beliau yang akan menentang calon Perikatan Harapan (PH), P. Prabakaran yang akan mempertahankan kerusi itu telah menjangkakan tindakan yang diambil PKR.
“Saya memang tahu kesan bertanding sebagai calon bebas dari awal lagi. Saya membiarkan parti membuat keputusan.
“Saya tidak mempersoalkan kepimpinan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan juga kuasa dalam melantik calon bertanding dan saya juga tidak berasa kecewa (dipecat),” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menyerahkan borang penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama, Jalan Ipoh, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tian Chua telah dipecat sebagai ahli parti itu atas kesalahan bertanding sebagai calon bebas bagi mencabar Prabakaran yang menjadi pilihan PH.
Pada PRU14, Tian Chua yang hilang kelayakan bertanding kerana kes mahkamah menyatakan sokongan kepada Prabakaran.
Menurut Tian Chua, beliau mengambil keputusan untuk bertanding kerusi Parlimen Batu kerana pernah berjanji akan kembali memberi khidmat semula kepada pengundi di kawasan tersebut.
“Ya, saya pernah berjanji saya akan kembali semula,walaupun mereka tidak kenal Praba (Prabakaran) ketika diperkenalkan pada 2018, atas kepercayaan dan jaminan saya, mereka hormati kata-kata saya dan memberi mandat kepada Prabakaran mewakili mereka.
“Dia (Prabakaran) kini berjaya melakukannya selama empat tahun, kini masanya pengundi di Batu menilai rekod perkhidmatan yang diberikan Prabakaran penggal lalu dan jika mereka rasa Prabakaran telah melakukan kerja yang terbaik maka adalah adil untuk mereka meneruskan sokongan dan mandat kepada dia,” ujarnya.
Ditanya mengenai dakwaan tindakannya bertanding akan memecahkan undi PH, Tian Chua yang menafikannya berkata, ia lebih menjurus mengelakkan kerusi itu jatuh di tangan lawan, iaitu Barisan Nasional dan Perikatan Nasional. – MalaysiaGazette