Calon Pejuang P.088 Temerloh, Aminuddin Yahaya (kanan) beramah mesra dengan calon Barisan Nasional N.32 Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pekan Sehari Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2022.

TEMERLOH – Dulu berjuang dalam platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini berazam mahu membawanya ke Dewan Rakyat.

Calon Gabungan Tanah Air (GTA), Aminuddin Yahaya berkata, selama ini beliau telah memperjuangkan pelbagai isu sehingga peringkat antarabangsa.

Namun selagi atas nama NGO iaitu Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), suara mereka hanya diibaratkan seperti daun kari sahaja.

Calon Pejuang P.088 Temerloh, Aminuddin Yahaya (tengah) beramah mesra dengan penduduk ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pekan Sehari Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2022.

Menurut beliau, daun kari diperlukan untuk masakan menjadi sedap namun hanya dibuang apabila orang memakannya.

“Sebagai orang luar (NGO) tak boleh buat apa-apa buat dasar, orang politiuk dalam Dewan Rakyat dan Kabinet sahaja boleh buat.

“Saya terlibat dalam puluhan malah ratusan demonstrasi sampai luar negara, sampai Geneva untuk menuntut keabsahan negara.

“Tapi semakin teruk, LGBT (lesbian, gay, bisexual, and transgender) semakin teruk, budaya, agama mansuh peringkat IPT (institusi pengajian tinggi). Apa nak jadi dengan negara kita?” soalnya ketika ditemui semasa melakukan walkabout di Pekan Sehari Temerloh hari ini.

Turut hadir ialah calon GTA bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan, Syafiq Khaidir.

Menurut Aminuddin, bukan niatnya mahu memegang jawatan, untuk mencari harta peribadi namun meraskan perjuangannya lebih berkesan sekiranya ada kerusi di Dewan Rakyat.

“Lagi pun, saya anak jati (Temerloh), asal dari Songsang,” katanya yang juga bekerjaya sebagai akauntan.

Mengenai dakwaan Penyelaras Gerakan tanah Air (GTA) Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Rofaie Mohd Hamdan yang beliau meminggirkan calon dari Pejuang dalam Parlimen Temerloh, Aminuddin enggan mengulas lanjut.

“Sudah ada kenyataan dari Pejuang, ia tiada kena mengena dengan saya (NGO). Pejuang sudah buat keputusan. Saya tidak mahu komen,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pejuang Temerloh alih sokongan kepada calon PN