MELAKA – “Baguslah semua parti tampilkan calon muda-muda, tapi jangan pula sibuk fokus pada budak-budak muda sampai lupa pada jasa orang tua,”
Itu harapan diluahkan warga emas, M. Morgan, 67, terhadap semua calon muda yang dipertaruhkan parti-parti bertanding untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di semua enam kerusi Parlimen negeri ini menjelang 19 November ini.
Rata-rata mereka memuji tindakan semua parti bertanding termasuk calon bebas yang turut meletakkan calon berusia antara 30-an hingga 40-an pada PRU kali ini.
Pada Hari Penamaan Calon PRU15 semalam menyaksikan penampilan anak muda berusia antara 30-an hingga 40-an di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya yang menyaksikan pertembungan empat penjuru.
Ia adalah Ketua UMNO Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, 36, mewakili Barisan Nasional (BN), Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim, 33, (Pakatan Harapan), Timbalan Ketua Majlis Pimpinan Pejuang Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, 40, dan ahli perniagaan Mohd Azrudin Md Idris, 41, daripada Perikatan Nasional (PN).
Pekerja kilang, Shamsidah Sahadan, 60, berharap calon muda menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan yang sudah bersara.
“Macam makcik ini, anak ada 10 dan masih bekerja kilang jadi adalah baik kalau dapat permudahkan kumpulan warga emas mendapat peluang kerja yang sesuai dengan usia.
“Janganlah hanya fokus pada orang muda sedangkan ada juga golongan berusia yang perlukan pekerjaan dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Pandangan sama disuarakan pemandu lori, M. Morgan, 67, yang teruja melihat semua empat calon diketengahkan parti bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya itu berusia jauh lebih muda.
“Bagus letak orang muda ini, tapi jangan sampai strategi meraih undi pengundi muda ini sampai meminggirkan perhatian kepada nasib warga emas,” katanya.
Pandangan sama disuarakan peniaga, B.K Chong, 67, yang mahu calon muda turut memikirkan cara untuk meningkatkan ekonomi rakyat keseluruhan dan bukan hanya menyediakan peluang pekerjaan kepada belia.
“Tahap ekonomi baik adalah apabila ianya memastikan rakyat di semua peringkat umur dan bangsa dapat menikmati kehidupan dalam suasana harmoni,” katanya. – MalaysiaGazette.