KUALA SELANGOR – Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar berkempen secara bersih dan tidak membuat tuduhan melulu terhadap mana-mana pesaingnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi P096, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan, tidak wajar mana-mana calon mengamalkan taktik kotor hingga mengelirukan pengundi mengenai larangan semasa berkempen.
“Apa-apa tuduhan saya terima saja lah, fokus kita ialah persaingan yang bersih.
“Saya tak nak main politik kotor. Saya doakan dia juga berjaya (berkempen), kita sama-sama bersaing dengan sihat,” katanya kepada pemberita di Puncak Alam, di sini, pagi ini.
Rabu lalu, calon PH yang juga penyandang kerusi P096, Datuk Seri Dr Dzulkelfy Ahmad mendakwa Tengku Zafrul berbelanja mewah setiap kali turun ke sekitar kawasan Kuala Selangor sebelum proses penamaan calon PRU15.
Dzulkelfy yang juga bekas Menteri Kesihatan mengakui bahawa kemewahan yang ditunjukkan Tengku Zafrul itu menjadi satu cabaran kepadanya untuk mempertahankan kawasan utara Selangor itu.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan itu bagaimanapun enggan menyerang balas tuduhan pesaingnya sambil mengakui beliau masih menghormati ahli politik PH itu.
“Saya berpandangan Dr Dzul adalah seorang yang baik, tiada apa perkara buruk saya nak cakap pasal dia pun,” katanya.
Sebaliknya Tengku Zafrul mahu menghabiskan tempoh berkempen yang berbaki kurang 13 hari ini dengan memberi fokus kepada tawaran penyelesaian masalah rakyat.
“Kebajikan rakyat dan pembangunan masyarakat, itulah fokus saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette