MELAKA – Dua remaja lelaki termasuk pelajar sekolah maut selepas dipercayai terlibat dalam lumba motosikal di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa masing-masing 15 dan 18 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian jam 4.18 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua mangsa masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan Yamaha Y15 telah bertembung ketika berlumba haram.
“Hasil siasatan mendapati, kedua-dua mangsa sedang berlumba masing-masing datang dari arah Tangga Batu dan Tanjung Bruas sebelum kedua-dua mereka bertembung sesama sendiri.
“Akibatnya, kedua- duanya remaja itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala motosikal dihantar untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM). – MalaysiaGazette.