Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan.

KUALA LUMPUR – “Kalau anda tanya saya mengenai pesaingan dengan dia (Khairy), saya ucapkan good luck kepadanya. Sungai Buloh bukan kawasan seperti Rembau. Peluang beliau di sana dan sini sangat lain.

“Saya tidak pasti sejauh mana pembangunan Rembau oleh Khairy. Tetapi di sini jangan main janji macam-macam seperti di sana,” amaran Datuk R. Ramanan, calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Keadilan Rakyat.

Ramanan mendakwa, beliau sudah memulakan gerak kerja sejak dua tahun lalu dan kebanyakan penduduk di Parlimen itu sudahpun mengenalinya dengan lebih dekat melalui bantuan yang dilaksanakan.

Malah, menurutnya, beliau sentiasa berada di kawasan ini cuma kehadirannya tidak diceritakan kepada media.

”Sekarang mungkin tiba masa untuk saya cakap, terlalu banyak program yang telah saya sekurang-kurangnya dua tahun kebelakangan ini. Pengundi sini tahu tentang rekod kita, tempat ini juga PH menang kerana pengundi tahu trek rekod kerja kita,” katanya.

Cuma, katanya, beliau tidak suka publisiti dan tidak seperti Khairy yang hebat di media sosial.

”Memang itu bukanlah ‘forte’ saya, tapi saya nak bagi tahu kelebihan saya daripada dia (Khairy), saya tidak sombong dan angkuh. Orang macam saya ini, kita ‘on the ground’ pada setiap masa, kita turun dan berjumpa penduduk bukan bermusim terutamanya ketika PRU sahaja.

“Saya nak tanya saudara Khairy ini, dia cakap mengenai Hospital Sungai Buloh, dia janji akan buat itu dan ini, dia akan bina ini dan itu. Ketika kamu menjadi Menteri Kesihatan, berapa kali datang ke hospital ini ketika pandemik, frontliner sedang menderita, doktor-doktor menderita, adakah kamu ambil tahu? Ada kamu datang lawat?

“Saya cakap ini semua daripada maklum balas penduduk sini bukan hanya setakat pimpinan atau ahli harapan sahaja, ini adalah daripada akar umbi yang kita pergi rumah ke rumah. Macam-macam mereka cakap,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ramanan berharap penduduk di Sungai Buloh dapat membuat pilihan yang tepat untuk memilih wakil rakyat yang bertanggungjawab serta menjaga kebajikan penduduk pada 19 November ini.

Selain Khairy, Ramanan berdepan dengan lima lagi pesaing termasuk Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, serta Nurhaslinda Basri. – MalaysiaGazette