Haniza Talha (berdiri) menyantuni penduduk Hulu Langat.

KUALA LUMPUR – Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) bagi Hulu Selangor, Haniza Mohamed Talha percaya rekod perkhidmatannya sebagai bekas Exco Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tiga penggal akan memberikan peluang untuk merampas kerusi tersebut.

Penyandang ADUN Lembah Jaya yang kini Timbalan Presiden PBM berkata, sejak dipilih sebagai ADUN Taman Medan pada 2008, beliau telah bekerja tanpa jemu berkhidmat untuk rakyat.

Beliau menambah, sepanjang berkhidmat sebagai Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor antara 2018 dan 2020, beliau telah membuat perancangan untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik di negeri itu.

“Selangor adalah sebuah negeri yang maju tetapi malangnya masih ramai yang tidak mampu memiliki rumah di sana terutamanya golongan miskin bandar.

“Di bawah program Rumah Selangorku semasa saya menjadi Exco, kami telah menyasarkan pembinaan 30,000 rumah kos rendah menjelang 2023. Antara 2018 dan 2020, lebih 10,000 Rumah Selangorku telah dibina.

“Ramai penduduk Selangor kini telah memiliki rumah berkat inisiatif ini,” kata Haniza dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kecil Pemantauan Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan pada 2019.

Hasilnya, beberapa projek telah diberi nafas baru dan ini memberi kelegaan kepada pihak seperti pembeli rumah.

Bagi membantu golongan miskin bandar menghadapi kos sara hidup yang tinggi, Haniza berkata beliau juga telah memperkenalkan projek pertanian komuniti serta menyediakan bank makanan.

Inisiatif lain beliau sebagai ADUN termasuk penubuhan dua perpustakaan di Taman Medan, menyediakan kelas Bahasa Inggeris percuma untuk kanak-kanak dan wanita serta mengendalikan kelas untuk kanak-kanak istimewa.

“Saya juga telah menaik taraf dan membaik pulih kawasan komunal di mana pengundi saya tinggal, seperti mengecat dinding luar pangsapuri, membaiki infrastruktur yang rosak seperti paip bocor dan menubuhkan pusat kitar semula,” tambah Haniza.

Haniza, yang juga timbalan speaker wanita pertama Selangor untuk Dewan Undangan Negeri berkata, beliau yakin sumbangannya sejak 14 tahun lalu sebagai wakil rakyat akan memberi kelebihan kepadanya dalam pilihan raya.

Tambahnya, dia bukan seperti ahli politik lain yang hanya akan muncul semasa musim pilihan raya dan pengundinya tahu bahawa dia sentiasa turun padang untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Tolong beri peluang kepada saya dan PBM. Saya akan terus menjalankan tugas kepada pengundi dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi,” tambah Haniza. – MalaysiaGazette