Calon Barisan Nasional P.119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) beramah mesra dengan peniaga ketika sesi walkabout Pasar dan Pusat Penjaja Wirawati, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 06 November 2022.

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad tidak memahami secara terperinci berhubung isu pengambilan tanah penduduk di Kampung Sungai Baru.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, lawannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini sepatutnya sedar bahawa Akta Pengambilan Tanah (APT) Kampung Baru itu dibuat oleh pemaju dan kerajaan.

Walaupun beliau sendiri tidak bersetuju dengan akta itu, Johari berkata, ia dibenarkan dalam undang-undang dan keputusan 89 peratus yang bersetuju berpindah dibuat selepas beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat di Parlimen itu selepas PRU14.

“Isu pembangunan tanah di Sungai Baru bila saya tidak lagi menjadi wakil rakyat dan pemaju dapat menyakinkan penduduk di situ kerana tiada siapa yang mewakili mereka. Seramai 89 peratus bersetuju untuk pindah dan tanda tangan secara sukarela tanpa paksa.

“Tinggal 11peratus dan pemaju menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk ambil 11 peratus ini. Ini banyak orang tidak faham. Dia (pemaju) bukan hendak ambil tanah Kampung Baru tetapi pembangunan semula projek PKNS yang dulu lebih 42 tahun dan itu orang tidak faham.

“Jadi itu memang dibenarkan dalam akta. Tetapi isu sekarang adalah pemaju dan saya tidak bersetuju dengan pemaju semasa saya jadi wakil rakyat dan hari ini mereka datang balik semula waktu saya tidak jadi wakil rakyat kerana ketika itu tidak ada wakil rakyat yang faham tentang pembangunan. Itu sebab jadi begitu.

“Empat tahun enam bulan sampai sekarang tidak pindah-pindah dan pembangunan macam itu. Jadi saya harap kalau saya diantik wakil rakyat semula perkara utama yang saya hendak pastikan adalah kepentingan 89 peratus ini dijaga supaya tidak terima nasib sama seperti Flat Perkeliling,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas bertemu dengan penduduk di Pasar dan Pusat Penjaja Wirawati, Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Isu Sungai Baru timbul apabila seramai  37 pemilik rumah teres Kampung Sungai Baru sebelum ini cuba mempertahankan tanah mereka daripada diambil pemaju bagi projek pembangunan semula kawasan itu namun terpaksa akur dengan desakan undang-undang di bawah APT 1960.

Difahamkan purata pampasan yang diterima adalah sekitar RM900,000 dan ia bergantung kepada keluasan tanah dan kelulusan bangunan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Proses pengambilan tanah sepatutnya dibuat pada Disember lalu, namun proses itu ditangguhkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bagi memberi ruang perbincangan antara pemaju bersama penduduk yang membantah.

Sebelum itu, seramai 37 pemilik rumah teres tersebut sebelum ini menggesa pewartaan pengambilan tanah terlibat bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru dimansuhkan selain meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Calon Barisan Nasional P.119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) bercakap kepada media selepas sesi walkabout Pasar dan Pusat Penjaja Wirawati, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 06 November 2022.

Semalam, selepas proses penamaan calon, Khalid berkata, beliau akan memberi tumpuan pada isu pembangunan Kampung Baru sepanjang berkempen di Parlimen Titiwangsa, khususnya membabitkan penggunaan APT 1960 untuk mengambil tanah penduduk Kampung Sungai Baru.

“Penggunaan akta ini adalah soal merampas tanah orang secara paksa bila mereka tidak setuju dengan harga yang ditawarkan. Ini satu duluan yang perlu dihentikan.

“Saya yakin jika PH kembali berkuasa, mekanisme pengambilan tanah secara paksa dengan harga yang tak dipersetujui pemilik akan dihentikan sama sekali,” katanya kepada media.

Sementara itu, Johari menegaskan beliau tidak mahu penduduk Sungai Baru tidak berdepan nasib yang sama seperti Flat Pekeliling yang mana unit rumah tidak siap selama 14 tahun untuk didiami.

“Flat Sungai Baru pula satu bilik tidur dan bilik air di mana tandas kalau flush (pam) pun keluar semua dan pendawaian dan pembersihan teruk. Saya sokong pembangunan dan saya cakap projek ini jangan terbengkalai macam Flat Perkeliling di mana 14 tahun tidak siap.

“Jadi masa saya jadi wakil rakyat dulu saya pejuangkan Flat Perkeliling itu dirobohkan dan dikosongkan. Saya bawa dalam Parlimen dan cakap bagaimana boleh biarkan flat yang kosong begitu lama dan hari ini sedang dibuat dan diroboh kerana penghuni tiada.

“Tapi janji dengan penduduk di situ hendak bayar balik. Hari ini ada 202 pemilik tidak dapat unit selepas 14 tahun. Jadi saya tidak mahu pemilik rumah di Sungai Baru berdepan benda yang sama. Sebab itu masa saya jadi wakil rakyat jumpa saya hendak buat pembangunan di Flat PKNS dan saya cakap tidak,” katanya.

Johari menambah, sekiranya terpilih semua sebagai wakil rakyat di Titiwangsa, beliau akan memastikan penglibatan secara terus dengan pemaju projek pembangunan Sungai Baru kerana mereka sudah menyakinkan penduduk.

Tegas beliau, pemaju perlu memaklumkan bila mereka hendak memulakan projek supaya penduudk mendapat unit rumah lebih baik dan selesa.

“Orang di luar komplen dan tidak faham isunya dan cakap saya setuju tetapi saya pun tak setuju Akta Pengambilan Tanah. 11 peratus pemilik yang ambil unit yang lebih besar dan ada tidak suka. Datang pula ahli politik buat  putar belit kata kita hendak ambil tanah Kampung Baru

“11 peratus itu diambil alih guna akta pengambilan tanah dan saya tidak setuju tapi mereka ambil alih. Jadi tanya Menteri wilayah dan wakil rakyat ketika itu kenapa tidak buat penglibatan terus dengan pemaju,” katanya.

Khairuddin Abu Hassan (kiri) bersama Johari Abdul Ghani, Khalid Samad dan Dr Rosni Adam selepas disahkan pencalonan mereka bagi kerusi Parlimen Titiwangsa pagi tadi.

Sementara itu, Parlimen Titiwangsa menyaksikan persaingan empat penjuru di antara calon BN, PH , Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun aingan lebih terarah kepada Johari dan Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.

Mereka juga dicabar oleh calon dari Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan serta doktor gigi, Dr Rosni Adam yang mewakili PN, calon tunggal wanita yang bertanding di kerusi itu.

Pada PRU, Parlimen Titiwangsa dimenangi Datuk Seri Rina Harun yang mewakili PH dengan majoriti 4,139 undi menewaskan Johari dan calon Pas, Mohamad Noor Mohamad.

Rina berpindah ke Parlimen Sepang pada PRU15 ini. – MalaysiaGazette