PARIT – Penganalisis politik berpandangan pertembungan empat penjuru di Parit, Perak – atau dikenali “Paris Malaysia” sangat menarik walaupun tidaklah disifatkan kerusi panas seperti Bagan Datuk, Tambun, Taiping, Gopeng dan Tapah.
Menariknya ialah kemungkinan kawasan Parlimen Parit termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota dan DUN Belanja yang mempunyai kira-kira 90 peratus pengundi Melayu bakal memperlihatkan sejauh manakah kekuatan BN dalam memenangi dan mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan pengundi Melayu.
Penganalisis Sosio Ekonomi & Politik Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa berkata, walaupun secara tradisinya, Pas dan PKR telah mencabar BN beberapa kali dalam PRU lalu namun kehadiran calon Pejuang, Bersatu dan Amanah pastinya memecahkan monopoli demografik bagi persepsi geo-politik pengundi Melayu itu sendiri.
“Kekuatan personaliti dan pengaruh calon itu sendiri adalah elemen yang dilihat boleh mempengaruhi persepsi pengundi di Parit, Belanja dan Bota mahu pun kali ini, pengundi baharu yang pertama kali terutama dalam kalangan anak muda akan mencorakkan pola pemikiran baharu pengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Nizar Zakaria bakal berdepan saingan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Parit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mohd Nizar yang juga penyandang kerusi berkenaan untuk tempoh dua penggal (2008-2013) dan (2018-2022) selain pernah bertanding dan menang di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja pada 2013 hingga 2018.
Beliau akan berdepan saingan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Ismi Mat Taib, Nurthaqaffah Nordin dari Pakatan Harapan (PH) dan Faizol Fadzli Mohamed dari Pejuang.
Ada seramai 47,915 pengundi di Parit tahun ini.
Menurut Ahmad Fauzi, dalam PRU-14 lalu, Mohd Nizar menang atas tiket BN meraih 14,035 undi dengan kemenangan majoriti sebanyak 6,320 undi menewaskan calon Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad yang memperoleh 7,715 undi dan calon PKR, Tarmizi Mohd Jam yang memperoleh sebanyak 7,240 undi.
Tidak terkecuali saingan empat penjuru turut mewarnai Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Parit iaitu Bota dan Belanja.
Bagi DUN Belanja yang mempunyai 17,767 pengundi menyaksikan calon BN, Khairudin Abu Hanipah bakal ditentang hebat Shaharuzzaman Bistamam (Pejuang), Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin (PN-Bersatu) serta Ahmad Hishamuddin Abdullah (PH-Amanah).
“Penyandang kerusi ini, Khairudin menang dengan majoriti undi sebanyak 2,729 pada PRU-14 lalu,” katanya.
Selaku kubu kuat BN di Perak, DUN Bota terus memperlihatkan penyandangnya, Khairul Shahril Mohamed berusaha untuk mengekalkan kerusi tradisi BN walaupun akan ditentang oleh Dr Najihatussalehah Ahmad (PN), Usaili Alias (PH) dan Mohd Shahril Harahab Abdul Halil (Pejuang).- MalaysiaGazette