R Ramanan

SUNGAI BULOH – Calon Pakatan Harapan (PH) Sungai Buloh, Datuk R Ramanan berikar tidak akan mengambil gaji walaupun RM1 jika beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, beliau mahu semua gajinya sebagai wakil rakyat disalurkan untuk kegunaan masjid, surau, kuil dan tokong di kawasan berkenaan.

Katanya, kawasan berkenaan tidak memerlukan seorang menteri untuk berkhidmat kepada rakyat kerana Sungai Buloh berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang dikemudi Pakatan Harapan.

“Orang tanya betulkah saya nak berkhidmat untuk rakyat. Ikhlasnya saya, gaji saya sebagai Ahli Parlimen, kalau saya dapat jadi (Ahli Parlimen), saya tidak ambil RM1 pun duit itu. Duit itu akan diberi balik kepada penduduk Sungai Buloh untuk kegunaan masjid, surau, kuil dan tokong.

“Kita tidak perlu jadi menteri untuk bekerja, selama ini negeri Selangor Shatiri Mansor (Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara), ada Khairuddin Othman (ADUN Paya Jaras).

“Kita tidak perlukan menteri pun sebab kerajaan negeri masih boleh berjalan macam biasa. Janji-janji manis itu tidak perlu pakai,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Ceramah Mega Paya Jaras, malam ini.

Dalam masa sama, Ramanan menyatakan hasratnya untuk menambah baik infrastruktur di Sungai Buloh khususnya menambah baik jalan raya.

Selain itu, beliau turut berjanji akan menangani masalah penempatan peniaga-peniaga kecil yang tidak terancang.

“Untuk anak muda, rancangan saya untuk bina satu pusat sukan kita boleh, bukan kita tidak mampu buat. Ramai di sini anak muda yang tidak boleh main sepak takraw dan futsal tidak ada tempat main badminton. Kita juga akan sediakan tempat bagi yang sukakan permainan ‘gamer’. Kita akan buat satu tempat anak muda main semua ini.

“Ini adalah manifesto yang akan bertambah dalam manifesto Pakatan Harapan. Manifesto Pakatan Harapan nanti bukan untuk Sungai Buloh sahaja untuk seluruh Malaysia,” tambah beliau.

Seperti Khairy Jamaluddin, Ramanan juga pertama kali bertanding di Parlimen Sungai Buloh.

Calon BN dan PH ini bakal berentap dengan lima lagi calon di Parlimen berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR itu mendakwa Khairy memilih Sungai Buloh selepas tidak diterima oleh mana-mana kawasan untuk bertanding.

Bekas Bendahari Agung MIC itu turut mendedahkan diarahkan parti untuk memastikan Menteri Kesihatan berkenaan tidak lagi berada di Parlimen selepas PRU15.

“Dia (Khairy) tidak pilih Sungai Buloh sebagai pilihan pertama, kedua, ketiga dan keempat. Tidak. Anda (pengundi Sungai Buloh) bukanlah pilihan terakhir Khairy tapi satu-satunya pilihannya kalau tidak, dia tidak ada kerusi.

“Amanat dan kerja yang diberikan kepada saya adalah keluarkan Menteri Vaksin daripada Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette