KAJANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mula menyantuni masyarakat Kajang sejak Jun lalu berikutan pelantikannya sebagai wakil kepada Dr Ong Kian Ming, penyandang kerusi Parlimen itu.
Katanya, beliau telah pergi ke banyak tempat di Kajang dan berjumpa dengan orang ramai untuk memperkenalkan diri dalam usaha mengekalkan kerusi itu di tangan DAP.
“Kita tahu DUN Kajang ini mempunyai lebih daripada 100,000 pengundi, jadi saya tidak boleh berjumpa dengan semua.
“Sebelum ini kita tahu ialah Dr Ong Kian Ming merupakan seorang yang lebih dikenali berbanding saya, jadi saya ambil peluang pergi ke tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti pasar untuk tunjuk muka dan menyantuni mereka,” katanya kepada pemberita ketika melakukan walkabout di Pasar Kajang, di sini, hari ini.
Menurut Syahredzan, usaha tersebut dilakukan dengan harapan masyarakat dapat lebih mengenali dan memberi sokongan kepadanya memandangkan beliau merupakan calon baharu.
Sementara itu, Syahredzan yang mengakui bakal berdepan saingan sengit yang pengundi dibangi akan menyokongnya namun tidak akan ambil mudah berikutan calon-calon yang bertanding bukan calang-calang orang.
“Saya dah tengok semua calon dan di antara mereka ada yang saya kenal seperti Datuk Hoh Hee Lee, calon Barisan Nasional (BN), seorang yang lebih senior, jadi beliau lebih berpengalaman.
“Kemudian calon Perikatan Nasional (PN), Encik Muhammad Nazrul Hakim, kenalan saya dari dahulu. Calon-calon lain walaupun pertama kali saya jumpa, semuanya hebat-hebat belaka dan saya hormati kesemuanya,” katanya.
Kerusi Parlimen Bangi akan menyaksikan pertembungan lapan penjuru yang menyaksikan Syahredzan berhadapan calon Perikatan Nasional, Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir, Datuk Hoh Hee Lee (BN), Anuar Salleh (GTA), Chee Chee Meng (PRM) serta calon Bebas iaitu Jamal Hisham Hashim, Suthan Mookaiah dan Muhammad Fauzi Hasim. – MalaysiaGazette