Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan isteri, Nori Tun Abdullah beriadah di Taman Rimba Riang, Seksyen 9, Kota Damansara.

KOTA DAMANSARA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpendirian tiada keperluan untuk mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) khas Covid-19 dalam tempoh berkempen yang sedang berlangsung.

Sebaliknya jelas beliau, semua parti yang bertanding perlu sentiasa berhati-hati dan melaksanakan amalan pencegahan penularan yang sebelum ini telah digalakkan oleh kementerian berkenaan, khususnya pemakaian pelitup muka.

Jelas beliau, negara telah pun berada pada fasa peralihan ke endemik yang mana kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah, termasuk pemberian vaksin Covid-19,  sebelum ini untuk memastikan rakyat dapat mencegah diri daripada dijangkiti virus tersebut.

“Kita ada semua untuk tangani Covid-19 sekarang. Kalau dulu mungkin tidak ada. Jadi kita boleh hadapinya hanya perlu berwaspada.

“Jadi tidak perlu SOP khusus kempen sebab saya sudah janji kepada semua parti politik kita kempen macam biasa tapi berhati-hati dan peka kepada persekitaran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui beriadah di Taman Rimba Riang, Seksyen 9, di sini,  bersama pengundi.

Hadir sama isterinya, Nori Tun Abdullah.

Tambah beliau, rakyat perlu menerima hakikat untuk berhadapan dengan naik turun peningkatan kes positif Covid-19.

Selain itu, Khairy mengingatkan orang ramai agar memakai pelitup muka sekiranya berada di kawasan yang berisiko berlaku penularan virus itu, khususnya di kawasan tertutup dan sempit.

“Kita ingatkan kepada orang ramai yang warga emas bila ke kawasan sesak dan pakailah pelitup muka. Pelitup muka masih merupakan perisai terbaik menghalang jangkitan.

“Kalau belum dapat booster terutama warga emas dan ada masalah kesihatan ambillah. Ini langkah asas termasuk buat sarungan kalau ada gejala,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang peningkatan semula kes jangkitan Covid-19.

Kes harian baharu Covid-19 negara meningkat 54 peratus dalam tempoh seminggu.

Pada Jumaat lalu sebanyak 4,360 kes direkodkan. -MalaysiaGazette