Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Pendidikan tinggi percuma kepada pelajar kategori B40 di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjadi salah satu janji dalam manifesto Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu menjadi salah satu inisiatif BN bagi membasmi kemiskinan secara strategik dan bersifat jangka panjang.

“BN akan beri pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak dalam kalangan B40 untuk membasmi kemiskininan secara strategik, adil dan bersifat jangka panjang,” katanya ketika membentangkan Manifesto BN secara maya, di sini, malam ini.

Jelas Zahid, sistem pengajian anjal iaitu 50 peratus pengajian di kampus dan selebihnya secara dalam talian atau jarak jauh turut diperkenal sebagai usaha mengurangkan kos pengajian.

“Selepas ini juga, bagi menghapuskan eksploitasi, semua mahasiswa atau sesiapa yang melakukan latihan amali akan diwajibkan bayaran elaun oleh majikan,” ujarnya.

Menurutnya, langkah itu penting kerana pendidikan bukan sahaja pertahanan terbaik, namun ia menjadi senjata ampuh dalam memerangi kekurangan serta kesenjangan hidup.

Selain itu, pemberian 100 peratus pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut ditawarkan kepada pelajar dari kelompok M40 dan ke bawah.

Tambahnya, bayaran semula PTPTN berdasarkan pendapatan dan tangga gaji selepas setahun bekerja turut disertakan dalam manifesto BN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast