Calon Barisan Nasional P.082 Indera Mahkota, Datuk Quek Tai Seong (dua kiri) bertanyakan khabar seorang penduduk yang sakit terlantar, Abdul Razak Awang NgaH ketika mengadakan lawatan rumah ke rumah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Chendor, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 07 NOVEMBER 2022.

KUANTAN –Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Indera Mahkota tidak mahu membuang masa berdebat dengan lawannya termasuk penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Menurut Datuk Quek Tai Seong, sebagai muka baharu di P.082 Indera Mahkota, beliau mahu menggunakan sepenuhnya tempoh berkempen untuk mendekati para pengundi di kawasan tersebut.

 

Calon Barisan Nasional P.082 Indera Mahkota, Datuk Quek Tai Seong

Tambah beliau, fokus utamanya ketika ini adalah untuk mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah yang berlaku di Indera Mahkota antaranya isu tanah, kebajikan dan menaik taraf infrastruktur seperti jalan raya.

Tegasnya, penolakan tersebut bukan bermakna beliau takut.

Malah bersedia untuk melakukannya pada bila-bila masa selepas pilihan raya kelak.

“Saya rasa tidak perlu berdebat kerana saya pun tiada masa.

“Para pengundi di sini tanya di mana wakil rakyat mereka sekarang tetapi saya tidak mahu jawab isu itu kerana mahu fokus berjumpa rakyat terutamanya orang kampung.

“Kalau hendak berdebat, kita lakukanlah dengan orang kampung atau pengundi-pengundi,” katanya kepada pemberita di Chendor, Pahang, hari ini.

Tai Seong yang lebih dikenali sebagai Mat Quek diminta mengulas mengenai acara debat di antara calon-calon Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Indera Mahkota.

Terdahulu Saifuddin yang mewakili Perikatan Nasional telah menyatakan persetujuan untuk berdebat dengan tiga lawannya dalam program yang dijadualkan berlangsung 13 November ini.

Parlimen Indera Mahkota menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Tai Seong, Saifuddin, calon Pakatan Harapan, Zuraidi Ismail dan calon Penjuang, Dr. Mohamad Nor Sundari.- MalaysiaGazette