BAGAN DATUK – Presiden UMNO hari ini menegaskan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih kekal sebagai calon tunggal Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) mendapat mandat rakyat pada 19 November ini.
“Buktinya anda boleh lihat poster dan papan iklan beliau (Ismail Sabri) di mana-mana termasuk di Bagan Datuk,” jelas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tentang jawatan Perdana Menteri yang dicalonkan oleh UMNO dan BN.
Meskipun begitu, Ahmad Zahid berkata, pemilihan akhirnya tertakluk kepada perkenan yang Yang di-Pertuan Agong.
Oleh itu, katanya, isu ini tidak perlu dibincangkan sekarang kerana proses pemilihan Perdana Menteri bukan terletak semata-mata di tangan parti-parti politik tetapi Yang di-Pertuan Agong walaupun parti boleh menamakan calon masing-masing.
“Kita mesti menghormati budi bicara mutlak Agong berdasarkan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 43,” katanya dalam sidang media di kediamannya.
Mengulas naratif kempen pesaing BN yang menyatakan ‘satu undi untuk BN adalah undi untuk Zahid’, penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk ini berkata, pembangkang sudah terdesak, justeru akan memainkan apa-apa sahaja isu untuk memenangkan mereka.
“Pada saya fokus dan tumpuan BN sekarang adalah untuk menang pada pilihan raya dan mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette