MELAKA – Perikatan Nasional (PN) disifatkan ketandusan modal kempen sehingga sanggup menekan rakyat untuk mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar jika mereka menang Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sepatutnya memikirkan cara lain untuk membantu rakyat, walaupun beliau sendiri bersetuju dengan keputusan itu sebelum ini.
“Itu (KWSP) duit rakyat dan (duit) rakyat dah tinggal sikit RM10,000, fahamlah sikit peranan kerajaan dan Perdana Menteri itu pulihkan ekonomi, hentikan kontrak tanpa tender yang dibuat oleh Perdana Menteri dahulu.
“Sama ada Ismail (Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob) atau Tan Sri Muhyiddin (Yassin) termasuk DNB (Digital Nasional Berhad) tidak ada tender, bocor berbillon (ringgit), kontrak-kontrak diberikan begitu banyak semasa beliau jadi Perdana Menteri.
“Itu mesti dihentikan dan boleh selamatkan berbilion-bilion ringgit,” katanya ketika ditemui media pada program Santai Bersama Anak Muda di Bukit Beruang di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Muhyiddin semalam yang memaklumkan akan meneliti pengeluaran wang simpanan KWSP secara bersasar jika PN menang PRU15.
Bagaimanapun menurut Pengerusi PN itu, pengeluaran terbabit tertakluk kepada jumlah baki simpanan pencarum, katanya ketika Sesi Townhall PN selepas pelancaran manifesto PN semalam.
Mengulas lanjut, Presiden PKR itu berkata, walaupun beliau pernah bersetuju dengan tindakan mengeluarkan KWSP sebelum ini, kerajaan hari ini tidak seharusnya menyusahkan rakyat.
“Tidak perlu menekan rakyat dari segi wang (KWSP) mereka bawa keluar mereka sampai tak ada (duit) dah.
“Dulu saya cadang (keluar KWSP) saya setuju (di) peringkat awal (tapi) dah keluar dah banyak duit. Sekarang tak ada modal (kempen) lain kah?,” katanya. – MalaysiaGazette.