Datuk Seri Hazani Ghazali. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan 81 ceramah politik yang tidak mempunyai permit.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum Ke-15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, kesemua kesalahan itu direkodkan sepanjang dua hari kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, data PDRM mendapati 45 ceramah tanpa permit dilaporkan di Negeri Sembilan, disusuli Perak (16), masing-masing lima kes di pahang dan Johor, empat kes ceramah tanpa permit di Kedah, Terengganu (2), Sarawak (2), dan akhirnya masing-masing dua kes tanpa permit di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Dalam pada itu, setakat 6 November 2022, sebanyak 814 permit untuk ceramah kempen PRU telah dikeluarkan oleh polis di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hazani menambah, PDRM juga telah membuka tiga kertas siasatan masing-masing satu kes di Kedah, Kuala Lumpur dan Pahang melibatkan kesalahan berkaitan pilihan raya.

Dalam pada itu, dua tangkapan telah buat di Kedah dan Pahang

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(A)(1) Akta Pilihan Raya 1954 Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat ke atas kawat duri yang memperuntukkan penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda.

Selain itu kes juga disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hazani berkata, PDRM turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi.- MalaysiaGazette