Chua Jian Boon sentiasa mesra dengan penduduk-penduduk Kulai.

KULAI – Walaupun usianya masih muda, calon Parlimen Kulai yang mewakili Barisan Nasional ini bukan calang-calang orangnya. Chua Jian Boon, 29, umpama ‘superhero’ yang selalu ada apabila masyarakat memerlukannya.

Anak muda ini berkata, membantu masyarakat aktiviti yang menyeronokkan baginya, lantas kelibatnya sering kelihatan dalam program-program melibatkan orang ramai.

Ditambah pula dengan mulutnya yang ‘kepoh’ sering kali kehadiran Jian Boon menceriakan suasana.

Penglibatannya dalam politik bukan baharu kerana pada usia 23 tahun lagi, beliau sudah menjadi pegawai khas kepada seorang Exco kerajaan negeri pada 2016.

Kini beliau merupakan Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Kebangsaan.

Chua Jian Boon sempat berselfie ketika memulakan kempen di Kulai.

Katanya, pertaruhan MCA mencalonkan beliau sebagai ‘suara’ para pengun di Kulai bukan sahaja memberi peluang kepada generasi baharu menjadi pemimpin malah membuka  ruang kepada orang muda menjadi penggerak penting dalam pembangunan, politik dan ekonomi.

“Saya cukup menghargai peluang ini kerana saya dan bergerak bersama-sama pemimpin lama BN untuk mencorakkan masa depan Kulai ke arah lebih baik.

“Saya juga bertekad mahu menjadi pemimpin muda yang baik dan disenangi masyarakat supaya menjadi contoh kepada generasi muda yang lain, sekali gus dapat memberi perspektif baharu dalam berpolitik,” katanya ketika membuka bicara dalam pertemuan dengan MalaysiaGazette.

Jelas Jian Boon, peredaran masa harus disertai idea dan perubahan cara kerja lebih segar, jadi beliau mahu menjadi salah seorang penggerak yang mencetus pembaharuan.

Chua Jian Boon tidak kekok bertemu masyarakat dalam kempennya menjelang PRU15.

Sebagai anak jati Kulai, beliau beriltizam untuk membawa pembangunan lebih mampan terutamanya dalam isu infrastruktur, sara hidup dan pendidikan yang akan terus diperjuangkan supaya pendudk-penduduk daerah Kulai terus mendapat manfaat.

Jian Boon berkata, beliau juga berazam untuk memacu pertumbuhan ekonomi supaya dapat mengubah landskap kehidupan rakyat di sini dengan jauh lebih baik.

Lebih daripada itu, anak muda ini mahu usaha-usaha memperkukuhkan perpaduan hidup berbilang kaum dirancakkan bagi memastikan rasa harmoni yang dikecapi oleh masyarakat majmuk di Kulai terus dinikmati.

“Perkara-perkara ini semua adalah agenda yang akan saya dukung dalam kempen saya selari dengan konsepnya ‘Kulai Masa Depanku,Kulai Kita’,” katanya dengan bersungguh-sungguh.

Chua Jian Boon bersama-sama penduduk Kulai.

Meskipun cukup dikenali dalam kalangan masyarakat Kulai, Jian Boon melihat kelebihan itu sebagai satu keyakinan untuk berdepan dengan calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Teo Nie Ching pada pilihan raya umum kali ini.

Katanya, walaupun berdepan dengan Timbalan Pengerusi DAP Johor itu yang merupakan pemimpin senior, ia bukan kegusaran bagi anak muda ini.

“Dalam politik tidak ada yang mustahil yang penting saya sentiasa positif supaya matlamat untuk memenangkan Barisan Nasional tercapai. Pada saya rakyat sudah mengundi Nie Ching selama 10 tahun dan dia berada di sini tanpa sebarang pembangunan mega.

“Jadi, saya ditampilkan oleh MCA untuk membawa perubahan di Kulai. Dalam tempoh 14 hari ini saya akan memastikan gerak kerja kempen diatur dengan baik supaya visi dan misi saya dapat disampai, dinilai dan dipertimbangkan oleh pengundi supaya mereka memilih saya pada 15 November ini.

“Itu harapan saya dan berharap pengundi dapat memilih saya untuk kita bangun dan majukan Kulai dengan lebih baik lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast