KUALA LUMPUR – MCA mengarahkan semua bahagian parti itu di seluruh negara supaya menggerakkan operasi Bilik Gerakan PRU masing-masing sepenuhnya dan mengerah tenaga bagi berkempen serta memastikan kemenangan untuk calon-calon Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Plilihan Raya Umum MCA, Datuk Chong Sin Woon menegaskan sebarang pertikaian kecil yang timbul sebelum ini berhubung pembahagian kerusi dan pemilihan calon hendaklah diketepikan.
Sebaliknya, katanya, seluruh organisasi dan ahli parti MCA di pelbagai peringkat mestilah menunjukkan tahap disiplin dan semangat profesional yang tinggi, serta mencurahkan sepenuh tenaga dalam setiap gerak kerja pilihan raya umum (PRU).
Sin Woon juga memberitahu, mana-mana ahli yang melanggar disiplin parti, seperti bertanding atas tiket parti lawan, menjadi calon bebas mahupun pencadang, penyokong dan agen calon lawan, akan digugurkan keanggotaannya dalam MCA.
Mereka yang terlibat termasuklah yang tiga ahli yang keluar parti dan seorang dipecat lebih awal serta yang dipecat selepas pencalonan, terdiri daripada empat orang calon kerusi Parlimen dan lima orang calon kerusi Dewan Undangan Negeri. – MalaysiaGazette