Calon Perkatan Harapan P.111 Kota Raja, Mohamad Sabu bersarapan bersama penduduk setempat sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Teluk Menegun, Klang. Foto MUHD NA’IM, 07 NOVEMBER 2022.

KLANG – Tiada siapa menyangka Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi medan perpecahan Barisan Nasional (BN) yang terburuk dalam sejarah politik tanah air selepas penyingkiran besar-besaran muka lama dalam senarai calonnya.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, sejak beliau menyertai pilihan raya pada 1982, baru kali ini berlaku perpecahan paling dahsyat bukan sahaja di Selangor bahkan meluas hingga ke Perlis, Kelantan dan Terengganu.

“Saya tidak menyangka di tahap ini (perpecahan) misalnya Datuk Seri Shahidan Kassim yang telah jadi menteri sebelum ini, sudah jadi Menteri Besar, kemudian kali kedua jadi Menteri Wilayah Persekutuan pula.

“Bila tak jadi calon, boleh pula jadi calon parti lain (Perikatan Nasional), itu bagi saya dalam UMNO tak pernah berlaku sebelum ini, sejak zaman Tunku Abdul Rahman sampai sekarang,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN untuk PRU15 yang diumumkan pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 1 November lalu mempertaruhkan 70 peratus muka baharu.

Langkah Ahmad Zahid itu tidak disenangi beberapa penyandang Parlimen yang memenangi kerusi masing-masing pada PRU14 lalu termasuk Arau, Padang Besar dan Maran atas tiket parti lain.

Selain Shahidan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib mempertahankan masing-masing di kerusi Arau dan Maran atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Manakala penyandang Parlimen Padang Besar, Datuk Zabidi Zainul Abidin pula mempertahankan kerusi berkenaan dan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi atas tiket bebas.

Sebagai saksi hidup, Mohamad yang juga Calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi P111 Kota Raja melihat perkembangan itu membuktikan BN khususnya UMNO sudah hilang daya ketahanan politik sebelum era milenium.

“Ketahanan mereka tidak seperti dahulu, UMNO dulunya terkenal dengan kekuatan perpaduan mereka. Walaupun ada pertembungan antara Anwar-Mahathir, Musa Hitam-Mahathir, Tengku Razaleigh-Mahathir tapi bila menghadapi lawan, mereka bersatu.

“Kali ini saya tak nampak kestabilan dan kemakmuran itu ada di dalam BN. Itu saya lihat kekuatan mereka (sebelum ini), sekarang itu tiada lagi,” katanya.

Katanya lagi, Pakatan Harapan (PH) tidak akan mensia-sia peluang di hadapan mereka dan akan menggunakan segala kelebihan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ini satu suasana yang memberi gambaran kepada kami mempunyai harapan yang lebih cerah (menang) melihat perpecahan yang berlaku dalam kalangan mereka (BN),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. mat sabuserabut BUAT LUPA…mahathir mukriz muhyidin dan ANWARFIKUN pun keluar dari PERUT umno bertanding dan tubuh parti baru…..BILA cakap OTAK letak bawah punggung UNTUK cari publisiti murahan

Comments are closed.