Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kiri) bersama ahli parti lain menunjukkan merasmikan gimik buku tawaran PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Majlis Pelancaran Tawaran PN_Bes di Hotel Glenmarie & Golf Resort, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 06 NOVEMBER 2022.

SHAH ALAM – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tawaran dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) yang dilancarnya malam ini adalah tawaran yang boleh dilaksanakan.

Kata beliau, dengan pengalaman sebagai kerajaan, PN yakin semua tawaran itu dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan menerusi sokongan semua penjawat awam, agensi kerajaan, GLC dan pihak swasta.

Sebagai bukti, katanya, komitmen PN terhadap pelakanaaan tawaran itu, sebuah Jawatankuasa Khas dianggotai ahli pakar akan dibentuk bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung dalam Tawaran PN BEST.

“Kami juga memberi jaminan semua inisiatif Bajet 2023, termasuk bantuan kepada rakyat dan penjawat awam akan dilaksanakan oleh PN.

“Bahkan, ada satu tawaran tambahan yang saya nak umumkan, iaitu jika PN menang, kita akan isytihar cuti umum pada hari Ahad bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dan hari Isnin bagi negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Manifesto Perikatan Nasional Tawaran PN BEST PRU15 di sebuah hotel di sini, malam ini.

Mengenai tunjang mentransformasikan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil, Muhyiddin memberitahu, PN yang akan menjaga kebajikan mereka menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif

Antara inisiatif itu, kata beliau, mengoptimumkan hasil pertanian dan perikanan serta industri hiliran bernilai tinggi melalui insentif khas bagi menggalakkan penggunaan teknologi dan pertanian pintar serta pemasaran cekap.

“Memodenkan sektor perikanan bagi meningkatkan taraf hidup nelayan dengan mewujudkan skim pembangunan yang terancang dan mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar milik kerajaan bagi kegunaan sektor pertanian, penternakan dan akuakultur yang bersesuaian termasuk kebun komuniti.

“Inisiatif juga melibatkan penyediaan bantuan tunai RM1,200 setahun kepada pesawah (Bantuan Tanaman Padi) dan RM800 setahun kepada pekebun kecil (Bantuan Musim Tengkujuh).

“Inilah tawaran utama PN. Tawaran lengkap mengandungi semua inisiatif yang akan dilaksanakan terkandung dalam dokumen Tawaran Perikatan Nasional PN BEST yang akan saya lancarkan malam ini,” kata beliau.

Kata Muhyiddin, manifesto PN juga menawarkan untuk memperkasakan generasi Felda dengan secara berterusan prihatin kebajikan mereka.

Sebelum ini, katanya, kerajaan PN telah melupuskan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, selain menerbitkan sukuk bernilai RM9.9 bilion bagi menambahbaik model perniagaan agensi itu.

Untuk memperkasa generasi itu, PN menawarkan beberapa inisiatif seperti menggagaskan Wawasan Felda Baharu bagi menjamin masa depan mereka melalui pewujudan peluang ekonomi baharu, keusahawanan serta menambah baik infrastruktur asas termasuk capaian internet dan rumah mampu milik.

“Inisiatif lain ialah menyelamatkan projek perumahan generasi baharu Felda terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih, di samping memperkenalkan skim keusahawanan Felda bagi menggalakkan penglibatan usahawan muda dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi terkini dan automasi.

“Kita juga akan memulihkan Felda supaya prestasinya setanding dengan syarikat perladangan kelapa sawit berprestasi tinggi bagi menjamin kesejahteraan peneroka,” katanya.

Tunjang lain yang turut ditawarjab ialah membina warga emas yang sejahtera, memandangkan Malaysia menuju negara menua dengan jangka hayat penduduk lebih panjang.

Justeru, kata Muhyiddin, kerajaan PN mesti lebih prihatin untuk memelihara kebajikan warga emas dan menawarkan beberapa inisiatif seperti menubuhkan Jabatan Warga Emas untuk meningkatkan akses golongan itu kepada perkhidmatan, program kebajikan dan keselamatan sosial agar dapat menjalani kehidupan yang sejahtera dengan persekitaran yang kondusif.

“Kita juga akan memperkenalkan skim lawatan doktor ke rumah bagi memudahkan penjagaan kesihatan warga emas,” ujarnya.

Tunjang seterusnya ialah memperkasa Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menjadi keutamaan PN.

“Untuk tujuan ini, kita akan menawarkan beberapa insiatif iaitu mewajibkan fasiliti mesra OKU di semua bangunan awam dan premis swasta serta mewujudkan sistem sokongan bersepadu dengan menambah baik Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) serta memperkasa program pemulihan seperti rawatan perubatan dan latihan vokasional.

“Kita akan menggilap potensi OKU dengan mempergiat Program Latihan OKU Berdaya bagi lepasan sekolah sebagai persediaan memasuki pasaran pekerjaan serta memperkenalkan Dana Niaga Khas berjumlah RM20 juta bagi membantu usahawan OKU,” katanya. – MalaysiaGazette