KUALA LUMPUR – MIC Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis terhadap calon Pakatan Harapan (PH), P. Prabakaran yang didakwa memfitnah parti itu dalam ceramahnya,
Laporan itu susulan dakwaan Prapakaran yang beliau ditawarkan RM10 juta untuk keluar parti PKR dan menyertai MIC.
Namun penyandang kerusi Parlimen Batu itu enggan berbuat demikian kerana tidak mahu mengkhianati parti dan pengundi.
“Saya hari ini tampil membuat laporan polis ke atas Prabakaran atas dakwaan yang tidak berasas dilemparkan terhadap MIC.
“Saya boleh mengesahkan di sini bahawa tiada mana-mana pihak dari MIC yang membuat perbuatan terkutuk itu (tawaran lompat parti) seperti didakwa dan itu adalah fitnah yang tidak berasas,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di hadapan IPD Sentul hari ini.
Beliau menuntut Prabakaran memohon maaf sambil menyifatkan calon PH itu tidak menampilkan contoh pemimpin politik yang matang dan profesional dalam menghadapi sesuatu isu.
Tambahnya, setiap pemimpin perlu berkempen secara berhemah dan apa yang dilakukan oleh Prabakaran hanya untuk meraih undi.
“Saya akan menyerahkan rakaman video yang tular itu kepada polis nanti untuk membantu siasatan polis,” ujarnya sambil menempelak Prapakaran jika mahu meraih undi bekerja keraslah dan bukan melemparkan tohmahan.
Sementara itu, Dalam Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan pihaknya menerima laporan polis itu.
Polis akan menyiasat laporan itu di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang membawa kegusaran awam.- MalaysiaGazette