Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berucap pada Program Jelajah Rafizi Ramli sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Senggarang Kek Cafe, Batu Pahat, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 08 NOVEMBER 2022.

BATU PAHAT – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan bertemu dengan Ramanan Ramakrishnan berhubung tindakannya untuk tidak meletakkan butiran secara terperinci selepas mengisytiharkan aset berjumlah RM63.5 juta.

Katanya, pertemuan tersebut perlu dibuat dengan calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh itu kerana ia merupakan ketetapan parti.

“Saya akan bercakap dengan dia, sebab saya rasa mengisytiharkan harta adalah baik dan kita buat keputusan supaya calon-calon kita isytiharkan aset.

“Ia juga untuk melatih calon-calon kita supaya berdepan dengan rakyat dengan cara yang terbuka kalau ada orang tanya.

“Saya fikir ia lebih baik dan lebih terbuka. Jadi, saya akan bercakap dengannya,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Harapan di pekan Senggarang, di sini, hari ini.

Menurut Rafizi, mengisytiharkan aset bukanlah satu perkara baharu, sebaliknya ia merupakan perkara lama yang diamalkan oleh PH.

Beliau menyedari bahawa melakukan pengisytiharan harta sememangnya suatu perkara yang sukar, namun ia perlu dilakukan bagi mendidik seseorang ahli politik agar tidak menyalahgunakan kedudukannya.

“Apa yang penting ialah pengundi akan tertarik minat untuk menekan semua ahli politik bukan sahaja dalam PKR yang dah isytihar ini tapi, yang lagi penting adalah mereka yang dalam Perikatan Nasional dan Barisan Nasional yang masih belum melakukannya.

“Itu adalah jalan terbaik untuk masa depan mereka. Kalau kamu hendak orang politik supaya dia tak gunakan jawatan dia untuk buat wang kamu kena ajar mereka dari sekarang yang mereka kena hidup dengan cara yang telus,” ujarnya.

Semalam, Ramanan yang merupakan bekas pemimpin MIC yang dipilih menggantikan peguam veteran PKR, R. Sivarasa merasakan tiada sebab untuk beliau meletakkan butiran terperinci mengenai aset-asetnya, sambil menyatakan nilai asetnya sudah diketahui umum.

Sebelum ini, dokumen pengisytiharan aset dipaparkan di laman sesawang PKR, menyenaraikan harta yang dimilikinya mengikut kategori termasuk memiliki wang tunai lebih RM23 juta dan barang kemas bernilai RM4 juta.

Beliau turut menyenaraikan jumlah hartanah yang dimiliki berjumlah RM27 juta, RM8.6 juta bagi kategori kenderaan serta pemilikan saham dan insurans bernilai RM3.5 juta.

Kesemua itu menjadikan aset bersih yang dimiliki berjumlah RM63.5 juta selepas ditolak RM2.5 juta hutang pinjaman rumah, kereta dan baki kad kredit.

Ramanan juga menolak dakwaan pengisytiharan aset beliau kurang telus dan mencabar pesaing politiknya mengisytiharkan aset masing-masing.

Pengisytiharan aset Ramanan dibuat selepas Rafizi membuat pengisytiharan yang mana beliau turut berkongsikan saham syarikat yang dikaitkan dengan PKR, Invoke Solutions dengan dianggarkan bernilai RM17 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast