Ang Sui Eng

POKOK ASSAM – Tsunami yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU14) yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) akibat fitnah dan janji ‘bulan bintang’ mungkin tidak akan berulang lagi pada PRU kali ini.

Ia kerana, rata-rata pengundi sudah serik dengan pengalaman empat tahun lalu selepas mengundi pembangkang.

Perkara itu diakui calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pokok Assam, Ang Sui Eng selepas menerima maklum balas pengundi kali ini.

“Kali ini rasa lain sedikit, maklum balas cukup baik. Saya sendiri tidak mahu bercakap tentang ‘sakit hati’ pengundi yang kecewa dengan pelbagai janji tidak tertunai. Pengundi juga mula sedar dulu banyak sangat janji kosong.

”Harap-harap kali ini pengundi boleh beri balik kepada BN. Lagipun BN sudah memerintah untuk sekian lama dan BN sahaja mampu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di pasar pagi Pokok Assam di Plaza Perbandaran di sini.

Kerusi DUN Pokok Asam yang ditandingi Sui Eng adalah di bawah Parlimen Taiping.

Sui Eng merupakan Ketua Bahagian MCA Taiping dan sudah lama bergelumang dengan politik tempatan kerana sentiasa mahu berkhidmat untuk masyarakat setempat.

”Saya sudah lama berkhidmat dalam politik, lebih 33 tahun. Saya harap pengetahuan, pengalaman ini boleh memberikan kepercayaan kepada pengundi bahawa saya mampu menjadi wakil mereka. Berilah saya peluang dan anda akan lihat hasilnya,” katanya yang lama berkhidmat di kawasan ini.

Sui Eng turut memberitahu, pasar Pokok Assam ini begitu dekat dengannya kerana pernah kerja bancuh teh mencari rezeki.

“Sebab itu saya amat faham dengan selok-belok penduduk setempat,” katanya yang membesar di pasar Pokok Assam, juga belajar di kawasan ini.

Lantaran itu, beliau memang kenal sangat dengan kehendak dan keperluan masyarakat sini.

”Saya harap yang terbaik bukan untuk saya sahaja tetapi untuk keseluruhan BN dan rakyat,” ujarnya.

Sui Eng berdepan pertembungan lima penjuru iaitu Ong Seng Guan (PH), Shariful Juhari Abu Kassim (PN) dan dua calon bebas iaitu Mohd Yusoff Abdul Hamid dan Leow Thye Yih.

Untuk makluman calon bebas, Thye Yih merupakan bekas penyandang kerusi itu selama dua penggal atas tiket DAP sebelum digugurkan daripada menjadi calon dan kemudian bertindak keluar parti itu baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast